KHAYAL dadah, mabuk dan tidak memiliki lesen memandu antara kesalahan yang sering direkodkan melibatkan pemandu bas pekerja di negeri ini, kata Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Beliau berkata, terdapat juga pengusaha menggajikan pemandu warga asing, selain membawa penumpang melebihi kapasiti had permit atas alasan mahu mengurangkan kos dan mementingkan keuntungan.
“Terdapat satu kejadian pada 21 Oktober lepas, melibatkan sebuah bas pekerja dipandu secara melulu dan berbahaya di kawasan perindustrian Tebrau. Apabila kita dapat kesan pemandu itu, ujian urin dilakukan dan didapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
“Susulan itu, dalam operasi kali ini, kita menjalankan ujian urin terhadap 20 pemandu bas pekerja dan dua daripadanya iaitu lelaki tempatan berumur 54 dan 34 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ganja,” katanya kepada pemberita pada Operasi Bersepadu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Johor di Johor Bahru pada Selasa.
Beliau berkata, dalam operasi itu, sebanyak 42 saman dikeluarkan termasuk membabitkan dua individu tidak mempunyai lesen memandu manakala 25 yang lain tiada lesen Kenderaan Perdagangan dan Lesen Vokasional (GDL dan PSV).
Dalam operasi yang sama, Jabatan Alam Sekitar turut mengeluarkan 26 saman, enam notis dan empat kompaun atas kesalahan berkaitan asap dan bunyi kenderaan.
Ayob Khan berkata, sejumlah 89 kes kemalangan jalan raya melibatkan bas pekerja direkodkan di Johor sejak Januari hingga bulan lepas, jika dibandingkan dengan 144 kes kemalangan jalan raya melibatkan bas pekerja pada tahun lepas. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.