Polis buru ‘samseng jalanan’ sepak penunggang motosikal

0
317

POLIS sedang menjejaki seorang pemandu sebuah kereta yang bertindak kasar seperti samseng jalanan terhadap seorang penunggang motosikal di atas jalan raya, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kejadian tersebut sempat dirakam oleh seorang pengguna jalan raya yang berada di lokasi kejadian.

“Berdasarkan video berdurasi 58 saat itu, pihak polis percaya ia berlaku di kawasan jalan raya lampu isyarat Bandar Teknologi di sini berdasarkan kenyataan daripada perakam video tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jelasnya, tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu oleh mana-mana pihak atau individu.

“Bagaimanapun, satu laporan polis maklumat pertama (FIR) telah dibuat oleh pihak polis untuk satu siasatan dijalankan bagi mengesan si pelaku dan mangsa dalam kes ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ke atas mangsa dan ugutan yang mendatangkan ketakutan atau kegusaran kepada mangsa,” ujarnya.

Katanya, polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut supaya tampil membantu pihak polis dengan menyalurkan maklumat agar si pelaku dibawa ke muka pengadilan.

Orang ramai juga dinasihat agar tidak membuat sebarang spekulasi negatif mengenai kejadian tersebut dan tidak mengambil tindakan undang-undang di tangan sendiri bagi menyelesaikan sesuatu masalah.

“Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berdekatan atau kepada pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mohd Ali Hamzah di talian 019-866 0324,” jelasnya.

Video itu memaparkan, seorang lelaki yang memandu kereta jenis Proton Persona keluar daripada keretanya lalu memarahi dan mengasari seorang penunggang motosikal dengan menendang motor serta manga yang dilihat terkaku ketakutan.

Namun, punca pergaduhan antara mereka masih belum diketahui. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here