PROSES penamaan dan pengumuman calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor terpaksa dilakukan di dalam kenderaan bergerak selepas pegawai pengurus terpaksa dikuarantin akibat kontak rapat individu positif Covid-19.
Penamaan calon itu dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Gelam, Tanjung Kling, pagi ini, apabila Pegawai Pengurus (RO) Zukhairi Arun dikuarantin di dalam kenderaan bergerak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Urusan itu diambil alih pasukan pegawai SPR daripada Zukhairi dan berikutan itu, proses penamaan calon terpaksa dilakukan di anjung sekolah itu berbanding pelan asal penamaan calon dalam dewan.
Pegawai SPR yang enggan namanya disiarkan berkata, pelan B penamaan calon terpaksa dibuat mulai petang semalam selepas Zukhairi dikesan sebagai kontak rapat seseorang yang dipercayai positif Covid-19.
Zukhairi terpaksa memakai peralatan perlindungan diri (PPE) serta ditempatkan dalam kenderaan berkenaan.
Tiga calon yang mengemukakan borang masing masing ialah Datuk Nor Azman Hassan mewakili Pakatan Harapan, Tuminah Kadi (Barisan Nasional) dan Mohd Rizwan Mustafa dari Perikatan Nasional (PN)
Kehadiran Zukhairi dalam kenderaan itu diperlukan untuk urusan menandatangani dokumen dan membuat pengunuman seperti waktu untuk mengemukakan borang dan seumpamanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.