Dasar Pengurangan Risiko Bencana liputi semua tindakan – PM

DASAR Pengurangan Risiko Bencana (DRR) bukan sekadar penyediaan infrastruktur berhadapan bencana semata-mata.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, Dasar Pengurangan Risiko Bencana itu turut meliputi semua tindakan pencegahan dan pengurangan risiko dalam setiap tahap kitaran bencana.

Menurut beliau, ia merupakan langkah proaktif diambil Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sesuai dengan peranannya sebagai agensi utama membantu kerajaan menyusun langkah-langkah wajar sebelum, semasa dan selepas bencana.

Justeru, Ismail Sabri berkata, kajian Daftar Risiko Bencana (NRR) dilaksanakan untuk meningkatkan pemahaman terhadap risiko bencana yang telah atau berpotensi berlaku.

Perdana Menteri berkata, ia juga memudahkan negara merancang dan membuat keputusan secara bermaklumat selaras dengan matlamat pembangunan mampan.

“Bagi memantapkan usaha-usaha ini, beberapa inisiatif telah dilaksanakan bersama rakan strategik seperti MERCY Malaysia; Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan komuniti Keluarga Malaysia.

“Antara usaha itu termasuk platform e-sumbangan; NRR; Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti-Pandemik (CBDRM-P) dan Kajian Kapasiti Negeri dan Kerajaan Tempatan.

“Apa yang penting, perancangan dan pelaksanaannya memerlukan kerjasama semua pihak dalam memastikan kelangsungan kegiatan ekonomi dan sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Program #KeluargaMalaysiaSiagaBencana Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 (BKN 2021), hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, setiap agensi perlu menjadi responder yang baik semasa menyelamat atau menguruskan pusat-pusat pemindahan.

Kata beliau, ia kerana pandemik COVID-19 masih belum lagi terhapus sepenuhnya memerlukan penyelarasan sumber dan kerjasama padu dalam menghadapi situasi ‘bencana dalam bencana’ terutama semasa Monsun Timur Laut yang telah bermula 3 November lalu.

“Ia bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 semaksimum mungkin dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan yang telah disediakan.

“Pada masa sama sebagai Keluarga Malaysia, saya menyeru semua pihak untuk berganding bahu merealisasikan semua perancangan yang telah disusun bagi menghadapi apa juga bentuk dan intensiti bencana,” jelas beliau. – SB