JUMLAH mangsa banjir di Kedah terus menurun kepada 681 mangsa daripada 177 keluarga setakat jam 8 pagi ini, berbanding 685 mangsa daripada 178 keluarga, tengah malam tadi.
Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff, berkata semua mereka ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan mangsa banjir di daerah Pendang masih kekal seramai 281 mangsa daripada 74 keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Cenderawasih seramai 81 mangsa daripada 25 keluarga.
“Mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah pula seramai 200 mangsa daripada 49 keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Muaz berkata, daerah Kota Setar pula mencatatkan keseluruhan mangsa banjir seramai 400 mangsa daripada 103 keluarga di empat PPS.
Beliau berkata, PPS Sekolah Kebangsaan Darul Hikmah menempatkan seramai 89 mangsa daripada 22 keluarga, PPS SK Convent (78 mangsa daripada 20 keluarga), PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent, 162 orang daripada 44 keluarga.
“PPS di SMK Simpang Kuala pula masih menempatkan seramai 71 mangsa daripada 17 keluarga.
“Dua lagi PPS iaitu SK Langgar dan SK Suka Menanti masih aktif walaupun semua mangsa di PPS itu sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
“Jumlah mangsa banjir dijangka berkurangan sekiranya paras air sungai terus menurun dan keadaan cuaca semakin baik hari ini,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.