
ENAM daripada lapan nama yang dicalonkan DAP untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini adalah calon kitar semula.
Parti komponen Pakatan Harapan ( PH) itu hanya mengemukakan dua nama baharu untuk bertanding dalam PRN tersebut.
Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semua lapan calon daripada parti itu yang akan bertanding pada PRN Melaka akan menggunakan logo Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, demikian pada sidang media di Facebook Dap Malaysia, sebentar tadi.
Berikut calon-calon DAP pada PRN Melaka –
- G Saminathan – DUN Gadek
- Muhamad Danish Zainudin (calon baharu) – DUN Pengkalan Batu
- Kerk Chee Yee – DUN Ayer Keroh
- Allex Seah Shoo Chin – DUN Kesidang
- Damian Yeo Shen Li – DUN Duyong
- Leng Chau Yen (calon baharu) – DUN Bandar Hilir
- Tey Kok Kiew – DUN Bemban
- Low Chee Leong – DUN Kota Laksamana
Muhamad Danish merupakan setiausaha politik kepada Damian Yeo dan Chau Yen yang juga setiausaha politik kepada Kok Kiew.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan itu mengakui PRN kali ini akan dilalui dalam keadaan sukar berikutan kekangan pandemik.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November.
PRN itu diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli DUN (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.