HASIL pelaksanaan dan kerjasama yang diberikan rakyat dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara telah membolehkan orang ramai kembali menikmati kehidupan normal termasuk berpeluang meraikan perayaan-perayaan dengan lebih terbuka berbanding sebelum ini.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini termasuk sambutan Deepavali kali ini yang jelas berbeza dari tahun lalu walaupun masih lagi berada dalam pandemik Covid-19.
Bekas Perdana Menteri itu menambah, jika tahun lalu Deepavali hanya dapat diraikan bersama ahli keluarga di rumah kerana mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan, tahun ini tidak lagi.
“(Tahun ini) Kita sudah boleh beraya bersama ahli keluarga dan rakan-rakan namun dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak berkuasa.
“Ini merupakan hasil pelaksanaan dan kerjasama orang ramai dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara,” katanya dalam ucapan sempena perayaan Deepavali menerusi Facebook hari ini.
Bagaimanapun, Muhyiddin turut mengingatkan supaya tidak leka dan lupa bahawa virus Covid-19 masih lagi berada di sekeliling dan perlu sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi menjaga keselamatan dan kesihatan.
“Jika kita menerima tetamu atau berkunjung ke rumah saudara mara dan rakan taulan sentiasalah beringat, pakai pelitup muka, jaga jarak fizikal, elakkan bersalaman dan sentiasa mencuci tangan menggunakan sanitizer.
“Bagi yang bergejala, duduk di rumah dan ambil ujian saringan sebagai langkah berjaga-jaga.” katanya.
Seterusnya, Muhyiddin berharap sambutan Deepavali yang lebih meriah pada tahun ini dapat memupuk semangat perpaduan dan kerjasama rakyat berbilang kaum dan agama di bumi tercinta Malaysia.
Keadaan itu sekali gus mengukuhkan lagi kestabilan dan keharmonian negara, selari dengan konsep Keluarga Malaysia.
Beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa usaha-usaha ke arah pemulihan negara tidak hanya boleh dilakukan oleh pihak kerajaan sebaliknya memerlukan sokongan semua pihak termasuk pihak swasta dan rakyat sendiri.
Tambahnya, dengan pembukaan pelbagai sektor khususnya ekonomi, pastinya akan memberi lebih sinar kepada orang ramai terutama golongan yang terjejas punca pendapatan mereka.
“Kita bertanggungjawab kepada diri, keluarga dan masyarakat di sekeliling kita.” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.