BATALION 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas 68 kambing baka boer yang dianggarkan bernilai RM102,000 di Kampung Jubakar Darat, Tumpat, Kelantan, tengah malam tadi.
Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof, berkata pada jam 12.30 tengah malam, anggotanya sedang melakukan rondaan di kawasan terbabit sebelum ternampak sebuah lori dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota kami mengarahkan pemandunya berhenti dan pemeriksaan di bahagian belakang kenderaan itu menjumpai 68 kambing baka boer dianggarkan bernilai RM102,000.
“Apabila diminta mengemukakan dokumen atau permit sah bagi membawa muatan kambing itu, pemandu berusia 37 tahun itu gagal berbuat demikian,” katanya memetik laporan BH, hari ini.
Nor Azizan berkata, kambing itu dipercayai diseludup dari Thailand untuk pasaran tempatan dan luar Kelantan bergantung kepada permintaan.
Katanya, kambing, kenderaan dan pemandu dibawa ke Balai Polis Simpangan untuk laporan serta tindakan lanjut.
“Semua kambing itu akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.