SEMBILAN anggota bomba yang sedang menjalani latihan maut dalam runtuhan bumbung gua berhampiran bandar Altinopolis, Brazil, pada Ahad.
Kejadian berlaku ketika sekumpulan 26 anggota bomba dalam latihan di sebuah gua – menurut Jabatan Bomba Sao Paulo menerusi Twitter.
“Sembilan maut dan seorang mangsa berjaya diselamatkan. Tiada lagi mangsa di lokasi kejadian,” katanya.
Dalam laporan awal, pegawai bomba berkata kejadian runtuhan itu menyebabkan tiga anggota bomba maut, manakala enam lagi hilang.
AFP melaporkan, pihak berkuasa Brazil mengesahkan jumlah kematian tetapi setakat ini identiti mangsa belum didedahkan.
Menurut laporan awal daripada pejabat Datuk Bandar Altinopolis, 15 anggota bomba masih terperangkap dan tiga mangsa yang diselamatkan patah tulang dan mengalami hiportemia.
Lima mangsa dibawa ke hospital dan sudah discaj, menurut pejabat Datuk Bandar.
Media sebelum ini melaporkan polis dan pasukan kesihatan kecemasan yang menyertai anggota bomba dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa terperangkap apabila berdepan hujan lebat.
Akses ke tapak terpencil itu disifatkan sukar dan berisiko berdepan runtuhan baharu, sekali gus merumitkan operasi menyelamat.
Gabenor Sao Paulo, Joao Doria berkata di Twitter beliau akan memberikan sokongan dan sumber yang diperlukan untuk menyelamatkan mangsa.
Bercakap kepada GloboNews, Cristina Trifoni, ibu kepada seorang pengajar yang menyertai latihan itu menjelaskan kumpulan itu merancang untuk bermalam di dalam gua.
“Apa yang berlaku ialah pintu masuk ke tempat mereka berada runtuh,” katanya.
Altinopolis terkenal dengan gua yang menjadi tarikan utama pelancong ke bandar itu. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.