Oleh SatuBerita
JIKA dihitung bukan sedikit kos yang terpaksa ditanggung oleh pesakit kanser untuk membiayai rawatan dan ubat-ubatan. Mengakui cukup terkesan dengan apa yang dihadapi sebilangan besar daripada mereka membuatkan Nizam Laksamana terpanggil melakukan sesuatu.
Katanya apa yang ditanggung oleh isterinya, Salwati Zulkifli, 47 tahun yang juga merupakan cancer survivor begitu merenggut hatinya. Di sebalik rawatan yang diterima, mereka juga perlu wang untuk membeli ubat dan rawatan intensif selepas rawatan kemoterapi berlangsung.
“Saya sudah melaluinya dan memahami apa yang ditanggung oleh sebahagian besar pesakit kanser. Selain perlukan sokongan moral untuk menjaga emosi mereka juga perlu duit untuk membeli ubat dan sebagainya.
“Sebab itu saya terpanggil untuk mengadakan persembahan bagi mengumpul dana bagi disumbangkan kepada pesakit. Semoga perjalanan yang akan saya tempuhi dipermudahkan,” katanya kepada SatuBerita.

Jika mengikut perancangan, Nizam bakal mengadakan Showcase Amal Keluarga Malaysia- Artis Legenda 3.0 awal tahun depan. Untuk mengadakan acara berkenaan, dia sudah memulakan usaha untuk mencari penaja bagi melicinkan showcase dengan menumpukan kepada penjualan meja.
Melalui dua siri showcase yang diadakan pada 2019 dan 2020, dia sudah mengumpulkan sejumlah wang dan didermakan kepada golongan gelandangan, pemuzik dan artis yang memerlukan.
“Sampai sekarang saya masih lagi berusaha untuk mencari penaja majlis berkenaan. Sama ada mahu menaja kos operasi keseluruhan majlis atau mereka juga boleh membeli meja untuk menyaksikan persembahan itu nanti.
“Dengan adanya wang hasil jualan meja itu nanti, kita akan bantu pesakit kanser terpilih. Semoga dengan bantuan yang diberikan akan meringankan beban mereka,” katanya yang popular dengan lagu Gugurnya Bunga Cinta.
Dalam pada itu, penyanyi yang berusia 55 tahun ini gembira apabila beberapa rakan artis yang lain sudah mengatakan persetujuan untuk menghiburkan tetamu semasa showcase berlangsung nanti.
Jelasnya, Ezad Lazim, Tam Spider, Ibnoor Riza dan beberapa nama besar yang lain akan terlibat sama dalam mencari dana bagi membantunya merealisasikan impian menyantuni pesakit kanser.
“Saya sudah buat dua kali dan ini kali terakhir saya melakukan showcase begini,” katanya yang berharap lebih ramai pihak korporat dan orang perseorangan sudi menaja showcase kali ini. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.