Anwar sifatkan Bajet 2022 belanjawan yang baik

DATUK Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan Bajet 2022 sebagai belanjawan yang baik, terutama peruntukan kepada golongan memerlukan.

Namun, ketua pembangkang ini berkata, kerajaan perlu memberi perincian, termasuk segala butiran berkaitan pembiayaan di luar bajet itu (off-budget).

Sehubungan itu, katanya, beliau akan mengulas Bajet 2022 di Dewan Rakyat, esok, terutama mengenai ‘off-budget’ yang ditanggung kerajaan.

“Kerajaan perlu memperincikan segala berkaitan pembiayaan luar belanjawan di sebalik Bajet 2022 berjumlah RM332.1 bilion yang dibentangkan di Dewan Rakyat, kelmarin.

“Saya akan mengulas mengenai belanjawan, esok, terutama berkenaan ‘off-budget’,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sumbangan Bakul Makanan Sempena Deepavali di Dewan Orang Ramai Kampung India, Bukit Pelandok, Chuah, Port Dikson, hari ini.

Begitupun, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau melihat Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, sebagai baik.

“Ia adalah belanjawan yang baik, terutama peruntukan kepada golongan memerlukan.

“Yang diberi kecil-kecil ini, kita nampak baik dan saya sokong tolong orang bawah. Namun kalau kita tidak teliti yang ini (off-budget) ia akan terus berlarutan. Itu saya akan ulas, esok sebelum tengah hari,” katanya.- SB