Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Abang Jo sedih pemergian Masing, kehilangan besar buat Sarawak -

Abang Jo sedih pemergian Masing, kehilangan besar buat Sarawak

PEMERGIAN Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing yang disahkan meninggal dunia pagi tadi, adalah satu kehilangan besar buat negeri itu.

Dukacita dengan berita itu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang kelihatan sebak ketika ditemui pemberita di Lawas, meluahkan rasa sedih dan mengakui pemergian rakan seperjuangannya itu memberi impak besar terhadap diri beliau.

Katanya, mendiang telah banyak berjasa dan memberi sumbangan serta idea sepanjang berkhidmat dalam Kabinet negeri, termasuk dalam barisan kerajaan negeri pimpinan Abang Johari ketika ini.

“Beliau rakan dalam kerajaan ini yang banyak beri sumbangan dalam urus tadbir kerajaan. Saya berasa amat sedih dengan pemergian beliau. Saya rasa kehilangan besar sebagai rakan…takziah saya ucapakan kepada keluarga mendiang.

“Beliau banyak menyumbangkan kepada pembangunan orang luar bandar khususnya masyarakat Dayak di Sarawak,” katanya selepas melancarkan program Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN-MYSRBN) Kampung Tengah di Trusan, Lawas, hari ini.

Abang Johari berkata, Masing adalah seorang pemimpin yang berwibawa dan berjiwa rakyat, yang amat serius dalam membela nasib rakyat.

Masing disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC) di Petra Jaya di sini, kira-kira pukul 7.05 pagi pada usia 72 tahun, dan berita pemergiannya dimaklumkan Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Janang Bungsu ketika dihubungi Bernama hari ini.

Masing meninggalkan seorang isteri Puan Sri Corrine Masing dan dua orang anak.

Sebelum ini, Masing yang juga Presiden PRS telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak (HUS) pada September lepas kerana disahkan positif COVID-19, sebelum dipindahkan ke NSMC untuk rawatan susulan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh sejak 1983 itu memulakan kerjaya politik secara aktif dengan menyertai Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang sudah terbubar sekarang, sebelum bersama-sama beberapa pemimpin lain untuk menubuhkan PRS pada 2004.

Beliau menyertai Kabinet negeri sebagai Menteri Pelancongan pada 1996 dan seterusnya memegang tiga portfolio lain selepas berjaya mempertahankan kerusi DUN Baleh selama lapan penggal berturut-turut, sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II Sarawak pada 23 Januari 2017. – BERNAMA