AHLI Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammadin yang juga bekas Menteri Pelancongan Seni dan Budaya mengumumkan keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama itu mengumumkan keputusan tersebut dan memilih untuk menjadi wakil rakyat Bebas, dalam satu sidang akhbar di Kota Kinabalu.
Mohammadin menegaskan, keputusan tersebut tiada kaitan dengan isu ‘beli’ wakil rakyat dan dibuat semata-mata demi untuk memastikan kemajuan dibangunkan di kawasan Segama.
Beliau mendakwa, keputusan itu dibuat selepas melihat tiada sebarang bentuk pembangunan dan kemajuan dapat disalurkan di kawasan diwakilinya sepanjang berada di kerusi pembangkang.
“Sudah lebih setahun saya berada di pihak pembangkang namun tiada sebarang kemajuan yang dapat dibawa ke kawasan Parlimen Lahad Datu.
“Situasi sama turut berlaku di DUN Segama yang tiada menunjukkan sebarang bentuk pembangunan walaupun hanya membabitkan tandas awam,” katanya.
Mohamaddin berkata, ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 tahun lalu, beliau berjanji kepada pengundi Segama untuk membawa seberapa banyak kemajuan dan pembangunan di kawasan itu.
Katanya, jika beliau masih berada dalam kelompok pembangkang, sudah tentu kemajuan serta pembangunan di DUN Segama akan terus terabai dan tidak akan maju.
Beliau menjelaskan selaku wakil rakyat Bebas beliau mempunyai hak untuk menyokong sebarang usaha kerajaan yang bertunjangkan kebajikan rakyat.
Tambahnya, di peringkat kerusi Parlimen beliau memilih untuk kekal bebas tanpa menyokong mana-mana pihak.
Mengulas lanjut, walaupun mesra kepada kerajaan negeri bagi DUN yang diwakili, beliau memaklumkan dirinya kekal menjadi seorang Ahli Parlimen bebas dan tidak menyokong mana-mana pihak di peringkat Persekutuan.
“Bagaimanapun, saya sangat berbesar hati untuk mengundi dan menyokong usaha kerajaan Persekutuan sekiranya undi yang ada pada saya iaitu satu undi Bebas boleh membantu membuat keputusan demi kepentingan rakyat dan negara.
“Hal ini disebabkan sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat yang dipilih pengundi bagi menjayakan sebarang usaha kerajaan untuk negara secara keseluruhannya,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.