POLIS memburu dua suspek lelaki yang masih bebas dalam kejadian cubaan ragut rantai leher seorang jurujual di belakang sebuah kedai di Jalan Tengku Kelana, Klang, Selangor.
Dua suspek itu yang dikenali sebagai ‘Paiyen’ dan ‘Kabilan’ merupakan antara empat suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian itu pada Rabu.
Bagaimanapun, menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, pihaknya sudah berjaya menangkap dua lagi suspek antara jam 2 hingga 5 petang semalam di Banting.
Polis turut merampas kereta yang digunakan dalam kejadian samun terbabit.
Shamsul Amar berkata, kes disiasat di bawah seksyen 393 Kanun Keseksaan iaitu Cubaan Samun.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Asisten Superintenden Zamrus Zakaria di talian 019-6892777 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 serta mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Pada Khamis, tular sebuah video berdurasi 2 minit 50 saat memaparkan cubaan suspek meragut rantai leher milik seorang wanita di belakang sebuah kedai di Jalan Tengku Kelana, Klang. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.