DATUK Mas Ermieyati Samsudin menyerahkan kepada pucuk pimpinan BERSATU untuk menentukan sama ada bertanding di satu daripada lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Setakat ini, Ahli Parlimen Masjid Tanah merangkap Ketua BERSATU Bahagian Masjid Tanah ini mengesahkan belum menerima sebarang arahan daripada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perkara itu.
“Saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya, tetapi setakat ini belum ada apa-apa arahan sama ada saya akan bertanding atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada 200 masyarakat India di Dewan Kompleks Sukan Masjid Tanah, Melaka, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai desas-desus politik sejak beberapa hari lalu, selepas dikatakan bakal mencabar pemimpin UMNO di kawasan Masjid Tanah pada PRN Melaka.
Ditanya sekiranya pucuk pimpinan parti membuat keputusan meminta beliau bertanding, Mas Ermieyati enggan mengulas mengenai perkara itu.
Parlimen Masjid Tanah mempunyai seramai 51,815 pengundi di lima DUN, iaitu Ayer Limau, Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Lendu dan Taboh Naning.
Mas Ermieyati adalah bekas Ketua Puteri UMNO dan keluar daripada parti itu pada 1 Julai 2018, dua bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebelum menyertai BERSATU pada Disember 2018.
Mas Ermieyati, 45, yang memenangi kerusi Parlimen Masjid Tanah pada PRU-13 atas tiket Barisan Nasional (BN) disahkan sebagai ahli BERSATU Cawangan Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah pada 31 Disember 2018.
Pada PRU-14, beliau menang dengan majoriti 8,159 undi selepas menewaskan Datuk Dr Sabirin Ja’afar (PKR) dan Nasir Othman (PAS). – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.