Ini impian Bajet 2022 netizen Malaysia

MENJELANG beberapa minit lagi sebelum pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pastinya membuatkan jantung 32.7 juta rakyat negara ini kian berdetak kencang.

Pastinya, rakyat yang terkesan akibat Covid-19 menaruh harapan menggunung pada bajet kali ini agar dapat terus membantu mereka mengharungi fasa endemik Covid-19.

Hasil tinjauan di media sosial, ramai antara netizen yang nyatakan impian dan harapan mereka untuk Bajet 2022 yang akan dibentang Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada jam 4 petang ini.

Seorang pengguna Twitter, Faizal Hassan berkata, antara yang perlu diambil kira dalam Bajet 2022 adalah pemotongan gaji menteri dan timbalan, bantuan yang lebih bagi rakyat yang tiada kerja, ibu tunggal dan orang susah.

Manakala menurut Ayu, juga seorang pengguna Twitter, harapannya adalah gaji minimum dinaikkan mengikut peredaran ekonomi.

“Naikkan gaji minima ke jumlah yang masuk akal mengikut peredaran ekonomi. Kesian orang kerja bagai nak gila, cuti tak menentu tapi gaji RM1200,” katanya.

Bersetuju dengan kenaikan gaji minima juga, Aliya berkata  harapannya yang lain adalah untuk diadakan kawalan harga dan pembinaan rumah serta kawalan harga sewa rumah atau bilik.

Namun, menurut PittKF juga di Twitter, dia mengharapkan kenaikan atau bonus untuk semua petugas barisan hadapan yang terlibat dengan Covid-19 secara langsung, walaupun bagi pencuci lantai hospital.

Dia juga mengharapkan bantuan bagi peniaga-peniaga kecil akan dibentangkan di dalam Bajet 2022. – SB