KERAJAAN memperkenalkan program e-Start iaitu sebuah Skim Transaksi Tanpa Tunai bagi memupuk budaya transaksi tanpa tunai di premis perniagaan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, e-Start akan mengkreditkan RM150 secara one-off ke dalam akaun e-dompet para belia berumur 18 hingga 20 tahun dan juga pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi.
“Dengan peruntukan RM300 juta, kerajaan berharap lebih 2 juta belia yang menerima manfaat daripada program ini dapat menggunakan sebaiknya melalui pembelian berguna seperti buku dan kelengkapan pembelajaran.
“Selain daripada itu, bagi memperkasa Sukan OKU, RM10 juta diperuntukkan kepada Majlis Sukan Negara khusus untuk meningkatkan program latihan atlet OKU dan melaksanakan Liga Sukan OKU,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat sebentar tadi.
Tengku Zafrul turut menyeru pihak swasta untuk memberikan elaun sekurang-kurangnya RM900 kepada pelajar yang menjalani latihan industri di syarikat mereka memandangkan kerajaan telah mula membayar jumlah elaun yang sama kepada pelatih industri sejak 2019.
Beliau berkata kerajaan juga akan menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun sebanyak RM900 sebulan bagi tempoh enam bulan, yang menyaksikan peningkatan berbanding RM800 sebelum ini.
“Kerajaan bercadang untuk melanjutkan galakan cukai bagi Program Latihan Industri Berstruktur sehingga tahun taksiran 2025 dan turut diperluas kepada pelajar di peringkat Ijazah Sarjana, Sijil Profesional serta Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan 2,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.