JABATAN Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sedang menyediakan Laporan Pemetaan Bahaya dan Risiko Cerun di Gunung Jerai, Kedah susulan kejadian tanah runtuh dan aliran puing yang melanda Gunung Jerai pada 18 Ogos lepas.
Laporan berkenaan akan diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada 26 November ini.
Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju berkata, pihak JMG juga sedang mengenal pasti tapak- tapak bersesuaian di Gunung Jerai bagi membangunkan sistem amaran awal bencana geologi.
“Sehingga kini, JMG telah melaksanakan analisis geologi, geomorfologi dan geologi kejuruteraan bagi mengenal pasti lokasi cerun di Gunung Jerai yang berisiko terjadi tanah runtuh serta pemetaan aliran puing termasuk mengenal pasti ciri-ciri aliran puing yang terjadi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata sedemikian ketika menjawab soalan daripada Sabri Azit (Pas-Jerai) yang meminta kerajaan menyatakan langkah-langkah diambil terhadap mitigasi kawasan bencana tahap satu di Gunung Jerai.
Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Nor Azrina Suip (PH-Merbok), Ali turut memaklumkan punca kejadian tanah runtuh dan aliran puing di Gunung Jerai itu adalah disebabkan oleh hujan lebat dalam waktu yang singkat ekoran fenomena perubahan iklim–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.