India catat 12,428 kes baharu COVID-19, terendah dalam tempoh 238 hari

SEBANYAK 12,428 kes baharu COVID-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam di India hari ini, sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes di negara berkenaan meningkat kepada 34,202,202 kes, menurut data terkini kementerian kesihatan.

Menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, angka kes baharu dalam satu hari berkenaan mencatat rekod sebagai angka terendah dalam tempoh 238 hari.

Dalam pada itu, menurut laporan Xinhua, sebanyak 356 kematian akibat COVID-19 dilaporkan sejak pagi Isnin dengan 281 daripadanya adalah dari negeri selatan Kerala, menjadikan kematian keseluruhan kini pada angka 455,068.

Masih terdapat 163,816 kes aktif COVID-19 di negara itu dengan penurunan sebanyak 3,879 kes aktif sepanjang 24 jam yang lalu.

Setakat ini, sejumlah 33,583,318 pesakit telah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital, dengan 15,951 daripadanya dibenarkan keluar dalam tempoh 24 jam yang lalu –SB