PENGASAS kumpulan rock indie terkenal, Herri Hamid Bittersweet (BTSWT) mengumumkan secara rasmi pembubaran kumpulan tersebut setelah hampir 17 tahun menghiasi industri muzik tanah air.
Bukan setahun dua bersama menyinari industri muzik indie, tetapi apakan daya, takdir juga penentu segalanya.
Menurut Herri, kumpulan Bittersweet amat terkesan akibat pandemik Covid-19 apabila ekosistem kewangan mereka ‘tersekat’ akibat tiada sebarang gig atau penjualan album.
“Benda ni dia dah daripada awal tahun haritu lagi, kita sebagai satu kumpulan dah tak bergerak, jadi bila ekosistem itu tak bergerak, tiada event, orang tak membeli, dan kos sebagai kumpulan bila kami nak praktis.
“Bila seminggu sekali pun (praktis), kami kena ada modal sebanyak RM800, untuk bayar transport (pengangkutan) dan tempat penginapan, jadi dekat situ kos agak tinggi kalau kita nak teruskan Bittersweet,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.
17 tahun berdiri sebagai sebuah kumpulan, keluar masuk ahli bukan satu hal yang asing. Selain Herri dan Fizan (vokalis), BTSWT pernah dianggotai oleh Zabil, Pijie, Hafiez, Dinie, Moon, Enal dan Irfan Iskandar.
Herri yang juga pemain gitar utama kumpulan itu berkata, antara sebab yang lain adalah mereka membuat keputusan untuk fokus dalam hidup peribadi masing-masing.
“Keadaan sebagai satu kumpulan itu dah berubah, masing-masing dah ada family, dah ada anak, kita dah nak kena fikir benda yang lebih penting sebenarnya.
“Sebab-sebab itulah kenapa kita ‘tarik handbrake’, sebab kita dah tak boleh nak deliver lagi,” ujarnya.
Walaupun ia merupakan satu keputusan yang berat untuk dibuat, namun Herri menyifatkan langkah tersebut bagi memberi laluan buat anggota kumpulan yang lain merancang perjalanan masa hadapan mereka tanpa terikat dengan Bittersweet.
Mengulas lanjut, Herri turut berkata, bakat-bakat baharu yang muncul dalam industri juga antara punca pembubaran kumpulan itu.
“Ekosistem sekarang tak macam zaman awal-awal Bittersweet, awal-awal dulu tak banyak platform, Facebook pun belum ada lagi, jadi keadaan tu dah berubah, sekarang platform dah banyak, banyak band baru yang bagus-bagus, jadi itu salah satu sebab juga kita bubar.
“Kalau dulu sebagai kumpulan indie, memang kita harapkan radio mainkan lagu, baru satu Malaysia kenal, tapi sekarang zaman dah berubah,” katanya.
Dalam pada itu, Herri turut berkesempatan untuk merakam ucapan penghargaan buat semua pihak yang telah menjadi tulang belakang kumpulan tersebut selama ini.
“Ribuan terima kasih kepada mereka yang menyokong Bittersweet daripada permulaan Bittersweet daripada vokalis pertama sampai tukar ke vokalis terbaru iaitu Fizan, tanpa mereka yang membeli merchandise, album fizikal, kita tidak akan bertahan sampai 17 tahun,” katanya.
Bittersweet memperjuangkan muzik indie rock dan britpop yang menjadi asas utama dan antara album yang pernah dihasilkan termasuklah A Perfect Match, Empire’s Transition dan BTSWT.
Ditubuhkan pada tahun 2004, mereka lebih banyak merakamkan lagu berbahasa Inggeris dan lagu Kucing Hitam pula pernah dijadikan runut bunyi untuk drama Kami The Series selain lagu Next Aidilfitri yang popular semasa lebaran.
Selamat jalan buat Bittersweet. Terima kasih untuk karya-karya yang mengambit memori dan semoga maju jaya dalam apa sahaja yang kalian ceburi selepas ini. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.