PUTERA Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman melancarkan inisiatif serantau sebanyak 39 bilion riyal Saudi (AS$10.4 bilion) pada Isnin bagi menangani perubahan iklim di serantau Asia Barat.
Menurut laporan Agensi Andalou, Kerajaan Arab Saudi akan menyumbang sebanyak 15 peratus daripada jumlah inisiatif berkenaan.
Dalam ucapannya di Sidang Kemuncak Inisiatif Hijau Asia Barat, beliau menjamin negaranya akan berusaha untuk mewujudkan pusat amaran awal ribut serantau.
Beliau turut dilaporkan mengumumkan penubuhan pusat serantau untuk perubahan iklim, pusat serantau untuk pengawalan dan penyimpanan karbon, serta pusat serantau untuk pembangunan lestari perikananan.
Dalam pada itu, program pembenihan awan akan dijalankan serta “Yayasan Inisiatif Hijau,” sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan juga akan ditubuhkan untuk menyokong tugas-tugas sidang kemuncak itu pada masa hadapan.
Sidang Kemuncak Inisiatif Hijau Asia Barat dihadiri pemimpin dan pegawai terkemuka dari rantau ini dan juga dunia dengan matlamat bagi mengukuhkan kerjasama dan menyatukan usaha bersama ke arah melaksanakan komitmen terhadap alam sekitar.
Pada Mac lalu, Arab Saudi telah mengumumkan pelancaran inisiatif Arab Saudi Hijau dan Asia Barat Hijau bertujuan mempertingkatkan kualiti hidup dengan meningkatkan pergantungan kepada tenaga bersih, meneurtralkan kesan bahan apai dan melindungi alam sekitar.
Inisiatif ini turut menyasarkan untuk menanam sebanyak 50 bilion batang pokok di rantau ini dan mengurangkan pelepasan karbon lebih 10 peratus daripada pelepasan karbon global.—SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.