Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Keluarga perlu peka soal kesihatan mental: Permaisuri Johor -
Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah

Keluarga perlu peka soal kesihatan mental: Permaisuri Johor

KESEDARAN soal kesihatan mental perlu dititikberatkan dalam kalangan masyarakat khususnya ahli keluarga agar dapat dikesan lebih awal dan langkah pencegahan dapat diambil, titah Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris, hari ini.

“Perhatian lebih berat perlu diberikan terhadap isu kesihatan mental kerana ia boleh dibantu dan kesan buruknya dicegah, bermula daripada kalangan ahli keluarga kita sendiri atau anggota masyarakat sekeliling kita.

“Saya berharap masyarakat menyedari bahawa ada badan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa sedia menolong mereka yang merasa gelisah atau sedang menghadapi masalah-masalah peribadi melalui panggilan telefon, seperti Samaritan, misalnya,” titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Seminar Mind X dan Seminar Virtual Psikologi & Kaunseling Sempena Sambutan Bulan Kaunseling Peringkat Negeri Johor yang diadakan secara maya di Johor Bahru.

Menurut Raja Zarith Sofiah, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan juga memberi kesan kepada kesihatan mental pelbagai lapisan masyarakat.

“Peraturan-peraturan ini, walaupun bertujuan melindungi kita daripada bahaya pandemik ini, turut dilihat sebagai kekangan yang menyukarkan kita menjalani kehidupan seharian yang telah biasa kita nikmati.

“Ramai dalam kalangan rakyat telah kehilangan kerja atau punca pendapatan dan menghadapi kesulitan kewangan. Keadaan ini amat mencabar, terutamanya dari aspek kesihatan mental,” titah baginda. – Bernama