kes harian Covid-19

4,782 kes baharu COVID-19, kadar terendah sejak 22 Jun

SELEPAS beberapa hari mencatatkan kadar di bawah paras 6,000, penularan harian COVID-19 terus menurun sehingga di bawah angka 5,000 hari ini.

Buat pertama kali sejak 22 Jun lalu, jangkitan pandemik itu susut sehingga sebanyak 4,782 kes baharu telah dilaporkan di seluruh negara hari ini yang mana ia merupakan kadar terendah dalam tempoh 125 hari lalu.

Kali terakhir negara merekodkan kes harian lebih rendah daripada hari ini adalah pada 22 Jun lalu apabila sebanyak 4,743 jangkitan dilaporkan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, jumlah kumulatif jangkitan COVID-19 di Malaysia kini berjumlah 2.436 juta.

“Sehingga 25 Oktober 2021: Jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 4,782 kes (2,436,498 kes).

“Maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman COVIDNOW: https://covidnow.moh.gov.my

“Data setiap hari bagi laman COVIDNOW adalah dikemaskini sekali gus selepas tengah malam,” katanya dalam media sosial, hari ini.

Sejak 9 Oktober lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya akan mengeluarkan pecahan kes baru mengikut negeri pada keesokan hari melalui portal COVIDNOW.

Bagi pecahan mengikut negeri berdasarkan kes semalam, Selangor merekodkan kadar tertinggi dengan 1,078 jangkitan.

Ia diikuti Sarawak iaitu sebanyak 754 kes dan Johor (566 kes). – SB