padi cukup

Bekalan benih padi di Kedah diyakini cukup, sampai tepat pada masa

Oleh RIZQI ZABIDI

BEKALAN benih padi di seluruh negara termasuk di negeri ini diyakini akan sampai tepat pada masanya pada kadar mencukupi, bagi memastikan penanaman untuk musim 2/2021 dapat dilaksanakan dengan lancar.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada jaminan dikeluarkan Jabatan Pertanian terhadap perkara itu.

Katanya, kalangan pegawai MADA sendiri pada setiap hari sentiasa berhubung dengan pihak Jabatan Pertanian bagi memastikan kesemua 194,602 pek benih padi yang ditempah, dapat dihantar kepada para petani mengikut jadual ditetapkan.

“Setakat ini kita sudah menerima 48.8 peratus daripada jumlah pesanan yang ditempah itu. Sebenarnya proses penghantaran benih padi itu berjalan sepanjang masa secara berperingkat dan tidak tersangkut di mana-mana.

“Proses ini dijangka akan selesai paling lewat pertengahan November depan. Sekarang ini, proses penilaian benih-benih padi itu masih berjalan bagi mengesahkannya benar-benar berkualiti demi kebaikan golongan pesawah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Sewa Pajak Projek Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) Kampung Asam Jawa, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) F-III MADA, di Pendang hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Negeri, Azman Nasrudin serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob.

Sementara itu, Azman meminta kalangan pesawah supaya tidak merasa resah, kelam-kabut atau terpengaruh dengan cakap-cakap dari mana-mana pihak mengenai dakwaan berlakunya kelewatan penghantaran benih padi tersebut.

“Apa yang berlaku bukanlah kelewatan sebaliknya ketika ini Jabatan Pertanian benar-benar mahu menjaga kualiti benih padi tersebut. Mereka tak mahu ada masalah berlaku di kemudian hari kepada para petani.

“Kalau ada kelewatan pun di beberapa tempat, masalah itu sentiasa diberi perhatian secepat mungkin. Pada akhirnya, kita sentiasa dapat memenuhi keperluan atau permintaan benih yang dipesan PPK-PPK terlibat,” katanya. – SB