Sidang pertama Parlimen lancar, lulus RMK12, tiga rang undang-undang

0
309

Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

MESYUARAT Pertama Penggal Ke-14 Dewan Rakyat, yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berakhir pada Selasa setelah 17 hari bersidang.

Walaupun negara masih berada dalam situasi pandemik COVID-19, persidangan yang dijalankan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dengan saringan RTK-AG Saliva Test dibuat dua kali seminggu, berjalan lancar dan bebas daripada penularan COVID-19.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun turut melahirkan rasa syukur, kerana tiada jangkitan atau kluster dalam Parlimen dan hanya dilaporkan sembilan kes yang berpunca daripada komuniti, malah dua hari terakhir persidangan Ahli Parlimen dibenar berucap tanpa memakai pelitup muka.

Persidangan yang dimulakan dua hari selepas sambutan ulang tahun ke-62 Parlimen itu juga mencatat sejarah, apabila menyaksikan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) di bangunan Parlimen.

MoU yang ditandatangani Ismail Sabri dan ketua-ketua parti pembangkang dari PH itu adalah bagi membentuk satu kerjasama dwipartisan dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

Persidangan kali juga menyaksikan kurangnya ‘drama’ Dewan Rakyat apabila rata-rata Ahli Parlimen baik di blok kerajaan mahu pun pembangkang, mengambil kesempatan ini untuk membawa masalah rakyat dan kawasan masing-masing ketika berbahas, mahu pun semasa bertanya soalan kepada menteri.

Antara perkara yang banyak ditimbulkan adalah isu-isu mengenai pengangguran, bantuan kepada rakyat, pasca COVID-19, transformasi Parlimen, pemulihan ekonomi, masa depan pendidikan negara, capaian internet berkelajuan tinggi dan perkara-perkara berkaitan Sabah dan Sarawak, terutama membabitkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Lebuhraya Pan Borneo.

Persidangan Penggal Ke-14 yang dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 13 Sept, turut menyaksikan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara oleh Ismail Sabri pada 27 Sept.

Rancangan Malaysia bagi tempoh 2020 hingga 2025 itu diluluskan Khamis lepas dengan suara terbanyak selepas dibahas 106 Ahli Parlimen dan melalui sesi penggulungan oleh 27 kementerian.

Turut diluluskan dengan suara terbanyak pada persidangan kali ini adalah tiga Rang Undang-undang iaitu Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2021; Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) (Pindaan) 2021; dan Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020.

Selain itu lima Rang Undang-undang dibentang untuk bacaan pertama iaitu Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) (Pindaan) 2021; Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2021; Perihal Dagangan (Pindaan) 2021; Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021; Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021dan Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2021.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini turut menerima Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2, yang menyaksikan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan menjalankan prosiding terhadap 25 isu bersifat punitif, yang dilaporkan di dalam dokumen berkenaan.

Turut mencuri tumpuan pada persidangan ini ialah usul pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang pada asalnya disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat ekoran peletakan jawatan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 23 Ogos lepas.

Bagaimanapun, Azalina membuat kejutan apabila muncul mempengerusikan sementara persidangan Dewan Rakyat pada sesi petang hari ketiga, dengan memberi penjelasan beliau diminta Azhar untuk berbuat demikian mengikut Perkara 7 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Saya turut ingin ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Azalina Othman Said yang sudi pengerusikan sementara beberapa kali sepanjang persidangan ini. Kesediaan beliau amat saya hargai,” kata Azhar pada hari akhir persidangan.

Bagaimanapun suasana agak panas pada penghujung persidangan apabila Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa kali memohon supaya Dewan Rakyat membahaskan usul Kertas Pandora, tetapi ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat atas alasan ia tidak perlu disegerakan sehingga memaksa persidangan itu mengetepikan urusan-urusan yang telah ditetapkan Aturan Urusan Mesyuarat.

Usul untuk mengungkaikan Ordinan-ordinan Darurat yang sepatutnya dibentang dan dibahas mengikut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat pada hari terakhir persidangan pula, dibawa ke persidangan akan datang.

Mengikut takwim, Mesyuarat Kedua Penggal Ke-14 Dewan Rakyat selepas ini dijadual diadakan selama 32 hari bermula 25 Okt dengan pembentangan Belanjawan 2022 akan diadakan pada 29 Okt ini.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here