Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Ahli Parlimen Labuan didakwa minta kontrak untuk keluarga -

Ahli Parlimen Labuan didakwa minta kontrak untuk keluarga

KETUA Whip WARISAN, Datuk Rozman Isli didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan mendapatkan kontrak pekerjaaan bagi syarikat di mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan.

Rozman yang juga Ahli Parlimen Labuan mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Rozman sebagai pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaaan sebagai Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan.

Kontrak itu bagi Syarikat Liberty Port Management Sdn Bhd, yang mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya, antara jam 2.30 dan 5.30 petang, pada 23 Mac 2018.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Jaminan itu tidak dibantah peguam Mohd Rafiq Rashid Ali yang mewakili Rozman.

Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin di Semenanjung, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 November ini untuk sebutan semula kes. – SB