Temujanji vaksinasi MySejahtera tidak laku di KK Kuala Selangor

TINDAKAN Klinik Kesihatan Kuala Selangor tidak mematuhi temujanji vaksinasi yang telah ditetapkan menerusi aplikasi MySejahtera menimbulkan pelbagai soalan dan kesulitan kepada penerima vaksin khususnya dalam kalangan remaja.

Seorang ibu kepada remaja terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Bienda berkata, beliau terkejut apabila diberitahu perlu mendaftar dan membuat temujanji semula untuk vaksinasi dos kedua anaknya.

“Ketika dos pertama, anak saya sudah mendapat tarikh temujanji dan tarikh tersebut disahkan lagi di dalam aplikasi MySejahtera.

“Hari ini, perlu isi semula maklumat dan menunggu tarikh dan masa baharu yang akan ditentukan pihak klinik.

“Saya diberitahu ia bergantung kepada kekosongan dan pihak klinik akan menghubungi bila ada kekosongan,” katanya kepada SatuBerita.

Beliau menambah, pihak klinik tidak sepatut sewenang-wenangnya menukar kaedah sedia ada kerana ia akan menyebabkan pelbagai kesulitan lain.

“Saya memahami kesulitan, mungkin kekangan tenaga kerja, tetapi masalah itu perlu diselesaikan dengan pihak atasan.

“Mengubah sesuka hati kaedah yang telah digunapakai dan diterima semua pihak bukan langkah yang betul,” katanya.

Menurutnya, berdasar senarai menunggu yang dilihatnya ternyata ramai yang terkesan dengan tindakan kurang bijak itu.

Ditanya apakah alasan yang diberikan pihak klinik atas perubahan itu, beliau menambah tiada alasan sebenar diberikan, namun ia mungkin ada kena mengena dengan status sekolah sama ada sekolah di dalam daerah atau luar daerah Kuala Selangor.

Sementara itu seorang remaja dari Kolej Vokasional Klang, memberitahu sebelum ini dia sepatutnya mendapatkan vaksin di PPP Stadium Kuala Selangor bulan lalu tetapi memohon dipinda ke hari ini atas alasan kerja.

Menurutnya, tarikh baharu itu juga telah disahkan di dalam aplikasi MySejahtera.

“Hari ini saya diarah mengisi lagi maklumat secara manual dan diminta menunggu panggilan untuk temujanji seterusnya,” ujarnya kecewa.