Tok Mat & Tuan Ibrahim minum petang, cari titik persamaan

0
546

Oleh HUSSAINI AMRAN

HUBUNGAN UMNO dan PAS dalam kerangka Muafakat Nasional (MN) masih lagi utuh dan pucuk pimpinan kedua-dua parti sentiasa berusaha mencari titik persamaan.

Petang tadi, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatannya dalam PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man minum petang bersama.

Pertemuan di lokasi yang tidak diketahui itu dimaklumkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantaran Facebook beliau, malam ini.

Selain Asyraf, pertemuan tersebut disertai oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.

Difahamkan, mereka berbincang tentang isu-isu berkaitan kerjasama antara kedua-dua parti.

Namun, Asyraf tidak berkongsi maklumat lanjut tentang pertemuan berkenaan.

“Sama-sama mencari titik-titik persamaan demi memperteguhkan ukhuwwah,” kata Asyraf secara ringkas dalam hantaran tersebut.

Pertemuan secara tidak formal itu merupakan perkembangan memberangsangkan dalam usaha membentuk kerjasama politik antara parti-parti Melayu dan Islam menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sebelum ini, khabar angin berlegar tentang hubungan dingin antara UMNO dan PAS sehingga mencetuskan kebimbangan dalam akar umbi kedua-dua parti mengenai masa depan MN.

PAS berada dalam keadaan serba salah ekoran keputusan UMNO menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN).

Memandangkan PAS juga merupakan salah sebuah parti komponen dalam PN, tindakan UMNO itu telah meletakkan PAS dalam keadaan yang sukar.

Walau bagaimanapun, PAS memilih jalan tengah dengan meneruskan hubungan dengan UMNO dan Bersatu.

Malah, pemimpin-pemimpin PAS juga bersedia menjadi orang tengah dalam usaha mendamaikan UMNO dan Bersatu.

Mahu tidak mahu, ketiga-tiga parti Melayu terbesar itu mesti bekerjasama dalam setiap pilihan raya.

Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan orang Melayu dan umat Islam terpaksa berputih mata hidup menderita di bawah pemerintahan rejim Pakatan Harapan (PH) sekali lagi.

Cukuplah sekali pengalaman ngeri rakyat ditadbir oleh rejim PH yang lemah dan jangan biarkan ia berulang lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here