Oleh RAHIMI MOHAMAD
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membenarkan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di negeri itu dilaksana dengan mengikut had satu pertiga daripada kapasiti masjid atau surau berkuatkuasa Jumaat ini.
Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berkongsi kenyataan akhbar hari ini memaklumkan, keputusan itu dicapai demi menjaga dan menghidupkan syiar Islam di Johor selari dengan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada individu yang telah lengkap mendapat suntikan vaksinasi Covid-19 dan dilaksanakan dengan mengikut kadar satu pertiga kapasiti masjid atau surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal satu meter.
Pengecualian mengenai vaksin hanya dibenarkan kepada individu yang mempunyai perakuan bertulis daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
Sementara itu, bagi jemaah lelaki yang belum mendapat suntikan vaksinasi lengkap, mereka hendaklah solat Zohor dan solat lima waktu di kediaman masing-masing dan tidak dibenarkan berada di tempat awam bagi mengelak fitnah.
“Bermula Jumaat ini juga, aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti membudayakan al-Quran, bacaan surah yasin dan tahlil, bacaan surah al-Mulk dan al-Kahfi serta kuliah Subuh dan Maghrib dibenarkan dengan had tidak melebihi satu jam.
“Sementara penganjuran majlis seperti zikir, selawat dan kuliah umum adalah ditangguhkan sehingga dimaklumkan,” kata kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi; Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Datuk Md. Rofiki Samsudin hari ini.
Bagaimanapun penganjuran majlis sedemikian melalui kaedah secara dalam talian adalah digalakkan bagi memastikan program pengimarahan masjid dan dakwah dapat diteruskan.
Selain itu, aktiviti memasak dan jamuan dalam kawasan masjid dan surau juga adalah tidak dibenarkan dan juadah hendaklah secara bungkusan sahaja.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Tosrin berkata, penganjuran majlis sambutan Maulidur Rasul di semua masjid dan surau di negeri itu juga ditangguhkan pada tahun ini bagi menjunjung titah perkenan Sultan Ibrahim.
Walau bagaimanapun, katanya, majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri dan daerah boleh dilaksanakan dan disiarkan secara dalam talian dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan pihak berkuasa.
“Majlis sambutan Maulidur Rasul di negeri ini ketika dalam tempoh Fasa 3 PPN masih boleh diteruskan secara maya pada Isnin ini di Masjid Sultan Abu Bakar Johor Bahru bagi peringkat negeri dan di masjid kerajaan daerah dengan jemputan dihadkan kepada 50 tetamu.
Tosrin memberitahu, ahli jawatankuasa hendaklah mematuhi arahan penangguhan itu dengan mengambil kira peningkatan kes wabak virus covid-19 di beberapa mukim dalam negeri ini.
Katanya, keputusan itu dibuat setelah mendapat pandangan dan pertimbangan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.