‘Ingat kita dalam penurunan KEMUNCAK BENCANA dan PUTUS HARAPAN’ – Khairy

0
704

PADA ketika seluruh negara bergembira dengan keputusan kerajaan membenarkan rentas negeri, orang ramai diingatkan supaya tidak alpa kerana pada saat rentas negeri dibenarkan, negara sedang berada dalam penurunan daripada kemuncak bencana dan putus asa.

Ingatan tersebut disuarakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam ciapan di Twitternya hari ini.

“Ketika kita membenarkan perjalanan rentas negeri bermula hari ini, tolong ingat imej ini. Kita sedang berada dalam penurunan daripada kemuncak bencana dan putus asa.

“Pakai mask (pelitup muka), pantau SOP (prosedur operasi standard) dan amalkan TRISS (Test, Report, Isolate, Inform dan Seek),” katanya.

Mesej Khairy mudah, kita layak gembira, namun pada masa sama kita jangan lupa bencana yang kita pernah hadapi beberapa bulan lalu boleh datang kembali jika terus alpa, mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) dan leka.

Untuk rekod negara sebelum ini mencatatkan kes harian Covid-19 yang tinggi sekitar Ogos dan September lalu.

Dalam tempoh itu angka jangkitan harian berlegar di atas angka 20,000 dengan jumlah kes tertinggi adalah pada 26 Ogos lalu iaitu sebanyak 24,559 kes.

Pada ketika itu ada di antara kita juga bagaikan sudah putus asa melihat kes yang terus naik, kisah-kisah wad unit rawatan rapi dan kecemasan yang penuh sehinggakan ruang pakir kereta digunakan sementara dan jangkitan yang merebak pantas.

Jika tahun lepas, setiap kali diumumkan kes-kes positif kita tidak mengenali siapa yang dijangkiti, namun sejak empat bulan lalu, mereka yang dijangkiti terdiri daripada mereka yang kita kenali.

Hari ini kita mendengar jiran dijangkiti, esok kita mendengar rakan sekerja kita dijangkiti, sanak saudara dan ahli keluarga sendiri. Begitulah kritikal pada saat itu apabila virus berkenaan sebenarnya sudah berada terlalu dekat dengan kita. Pada bila-bila masa sesiapapun boleh dijangkiti. Lebih menyedihkan, ada yang berakhir dengan kematian.

Sudah pasti kita tidak mahu keadaan itu kembali lagi. Oleh itu, dalam meraikan peluang rentas negeri ini, lakukan dengan bertanggungjawab. Patuh, jaga dan amalkan SOP sepanjang masa. Ingat, tindakan kita yang akan menentukan kita mampu menjaga diri kita, keluarga kita, komuniti kita dan Keluarga Malaysia kita.

Melalui Twitter, Khairy Jamaluddin turut berkongsi imej Model SEIR Unjuran dan Pemerhatian Kes Harian COVID-19, yang menunjukkan graf kes harian COVID-19 di Malaysia dari 1 April hingga 31 Disember 2021.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here