Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pemandu Lamborghini didenda RM9,000, penjara dua minggu -

Pemandu Lamborghini didenda RM9,000, penjara dua minggu

PEMANDU kenderaan mewah Lamborghini yang terlibat dalam kemalangan melibatkan enam lagi kenderaan di Jalan Tun Razak pada 8 September lalu dijatuhi hukuman denda RM9,000 dan penjara wajib dua minggu selepas mengaku bersalah di Mahkamah Trafik Jalan Duta, Kuala Lumpur  hari ini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, tertuduh berusia 42 tahun itu mengaku bersalah kerana memandu secara melulu dan membahayakan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Hasil pertuduhan, pemandu motokar mengaku bersalah dan dikenakan hukuman denda RM9,000, penjara wajib dua minggu dari tarikh ditangkap. Sekiranya gagal membayar denda, akan dikenakan lima bulan penjara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarifudin berkata, pemandu itu juga tidak dibenarkan mengambil lesen memandu selama lima tahun.

“Kesalahan diendorskan pada lesen memandu serta dikenakan tindakan saman di bawah Seksyen 26(1) APJ 1987 kerana memandu kenderaan tanpa lesen memandu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 pagi pada 8 September lalu, kenderaan mewah Lamborghini yang dipandu lelaki terbabit dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh sebuah Proton Perdana sehingga terbalik di Jalan Tun Razak menghala Bulatan Pahang.

Kemalangan itu turut melibatkan empat lagi kenderaan di lokasi kejadian. – SB

Berita berkaitan: [VIDEO] Lamborghini hilang kawalan, hentam 4 kenderaan