KENDERAAN mewah jenama BMW dan Volkswagen dengan dilengkapi aksesori kelengkapan polis yang tular semalam hanya untuk diuji cuba oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut laporan BH Online yang memetik Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, lima unit kenderaan mewah BMW model M3 dan X3 serta Volkswagen Tiguan itu hanya di peringkat pembuktian konsep (POC) sebelum sebarang keputusan pembelian dimuktamadkan.
Kata beliau, kelima-lima kenderaan itu diuji cuba PDRM selama dua minggu.
Pada masa sama, beliau berkata, keputusan untuk mengguna pakai kenderaan itu juga belum dimuktamadkan.
“PDRM pada masa ini hanya menggunakan kereta berkenaan selama dua minggu sebagai percubaan tanpa sebarang apa-apa perjanjian.
“Tujuannya adalah untuk kita mendapat maklum balas sama ada kegunaan kenderaan ini sesuai atau tidak bagi sebarang penugasan dalam PDRM,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali dilaporkan berkata kelima-lima kenderaan itu akan digunakan Jabatan KDNKA, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan cawangan pengiring selama tempoh dua minggu ini.
Beliau berkata, PDRM sedia maklum kekangan kewangan dialami kerajaan semasa pandemik ini, namun tawaran diberikan sebuah syarikat itu hanyalah untuk uji cuba.
“Ingin dijelaskan di sini, bahawa penggunaan kenderaan ini adalah sebagai uji cuba atau POC selama tempoh dua minggu yang ditawarkan oleh sebuah syarikat kepada PDRM dan tiada sebarang urusan pembelian dilakukan.
“Kita akan uji kenderaan ini sebelum sebarang keputusan untuk penggunaannya diputuskan oleh PDRM kelak dan bukannya dalam masa terdekat,” katanya.
Media semalam melaporkan penularan beberapa keping gambar memaparkan kenderaan BMW Me G80 dan X3 dilengkapi logo PDRM.
Gambar-gambar itu meraih perhatian ramai yang teruja dengan kenderaan baharu dipercayai untuk kegunaan PDRM itu. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.