Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengeluarkan satu paras harga baharu kit ujian pantas antigen Covid-19 selepas beberapa perkara diperhalusi dan dimuktamadkan pada November.
Menterinya, Alexander Nanta Linggi berkata penjualan kit ujian pantas di pasaraya juga dijangka dapat dilaksanakan menjelang akhir Oktober ini.
Beliau berkata, kerajaan sedang membuat penilaian di peringkat industri sebelum menentukan harga siling borong dan runcit yang baharu bagi kit ujian pantas antigen Covid-19.
“Kerajaan telah menerima maklum balas daripada industri berhubung paras harga yang wajar dipertimbangkan supaya dapat menjamin bekalan yang mencukupi dan berterusan.
“KPDNHEP akan mengeluarkan satu paras harga yang baharu selepas faktor-faktor di atas diperhalusi dan dimuktamadkan dalam November.
“Saya berharap semua pihak yang terlibat di dalam penjualan kit ujian ini akan mengambil maklum dan memberikan kerjasama demi kebaikan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memberi komitmen kementeriannya akan mempergiat usaha memantau harga dan persaingan kesan daripada peluasan penjualan kit ujian pantas antigen Covid-19 selain daripada farmasi dan klinik.
“Usaha yang digembleng bersama ini juga diharap dapat membantu negara keluar daripada pandemik ini dan seterusnya menghidupkan semula pelbagai sektor di dalam negara termasuk sektor ekonomi domestik,” katanya.
Beliau bagaimanapun menggalakkan peniaga menawarkan harga lebih rendah dan munasabah tanpa menunggu kerajaan menentukan paras harga baru, atas semangat Keluarga Malaysia dan kepentingan kit ujian pantas itu kepada masyarakat.
Ketika ini terdapat hampir enam juta kit ujian pantas Covid-19 di pasaran tempatan.
Pada 5 Sept, kerajaan menguatkuasakan harga kawalan bagi kit ujian pantas Covid-19 dijual pada harga maksimum RM19.90 bagi runcit dan RM16 bagi borong.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.