Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Zahid mohon dipulangkan pasport, mahu ke Jerman dapat rawatan -

Zahid mohon dipulangkan pasport, mahu ke Jerman dapat rawatan

Bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memfailkan permohonan untuk mendapatkan pasportnya daripada mahkamah.

Peguam, Hamidi Mohd Noh, memberitahu hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bahawa anak guamnya ingin mendapatkan rawatan di Munich, Jerman.

“Beliau mengalami sakit pada leher dan belakang. Rawatan intervensi tidak cukup untuk mengurangkan kesakitan itu,” kata Hamidi seperti dilaporkan portal FMT.

Katanya, Zahid perlu menggunakan pasportnya bermula 26 Okt hingga 21 Nov.

Zahid sebelum ini diperintahkan untuk menyerahkan pasportnya sebagai syarat ikat jamin ketika kali pertama dihadapkan ke mahkamah pada 19 Okt 2018.

Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng tidak membantah permohonan itu tetapi menimbulkan isu teknikal dalam sijil kesegeraan (certificate of urgency) yang dilampirkan dalam permohonan itu.

“Sijil itu ditandatangani oleh firma guaman. Ia sepatutnya ditandatangani oleh peguam cara yang bertugas,” katanya.

Sequerah memberitahu pihak pembelaan supaya membuat perubahan diperlukan sebelum mahkamah memberi kebenaran mendapatkan pasport itu.

Hamidi juga memberitahu hakim bahawa pihak pembelaan turut memfailkan permohonan sama di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Zahid berdepan 47 pertuduhan, iaitu 12 pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akal Budi dan menerima rasuah daripada Ultra Kirana Sdn Bhd untuk pelbagai projek berkait sistem visa warga asing ketika menjadi Menteri Dalam Negeri.

Pendengaran hujahan akhir kes pendakwaan akan bersambung di hadapan Sequerah pada 11 Okt.

Pada Ogos lalu, kes perbicaraan Zahid terpaksa ditangguh susulan sakit belakang yang dialaminya dan terpaksa dirawat di hospital.

Bagaimanapun, selang beberapa hari selepas penangguhan kes mahkamah kerana sakit dialaminya, Zahid dilihat menghadiri satu mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO selama beberapa jam sehingga menimbulkan persoalan berhubung sakit belakang yang dihadapinya.