Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kru bot positif dadah bawa penumpang secara bahaya -

Kru bot positif dadah bawa penumpang secara bahaya

Oleh RAHIMI MOHAMAD

DUA lelaki yang bekerja sebagai tekong dan awak-awak sebuah bot penumpang ditahan polis selepas mereka disyaki positif dadah ketika membawa penumpang di sekitar perairan Mersing di Johor, semalam.

Kedua-dua suspek terbabit yang berusia 22 dan 26 tahun itu ditahan pada pukul 10 pagi ketika mereka membawa penumpang secara berbahaya berhampiran Pulau Rawa.

Menurut Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edrward Nuing, polis menahan sebuah bot pelancong jenis gentian kaca yang berukuran 26 kaki panjang dan enam kaki lebar.

“Bot yang ditahan sedang membawa lima orang penumpang dan dikendalikan dengan cara berbahaya.

“Hasil saringan awal mendapati kedua-duanya didapati positif dadah jenis meth,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Beliau menambah, bot yang dirampas diserah kepada Jabatan Laut Mersing untuk siasatan lanjut, manakala suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Cyril berkata lagi, pengusaha bot dinasihatkan sentiasa menjaga keselamatan penumpang dan mematuhi segala peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Pada musim peralihan monsun timur laut dan sepanjang musim monsun yang akan melanda pantai timur semenanjung termasuk perairan Mersing, dinasihatkan kepada pengendali bot-bot kecil dan nelayan-nelayan persisiran pantai dan pelancong supaya lebih berhati-hati semasa menjalankan aktiviti di laut,” katanya.