Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
[VIDEO] Tak semua ‘mat motor’ nakal -

[VIDEO] Tak semua ‘mat motor’ nakal

MASYARAKAT sememangnya mempunyai persepsi yang kurang senang terhadap ‘mat motor’ dan ada juga yang menganggap mereka ini adalah golongan yang bermasalah.

Namun, lain pula dengan sekumpulan pemuda bermotorsikal ini yang telah membuka mata orang ramai dan membuktikan bahawa tidak semua ‘mat motor’ bermasalah.

Menerusi perkongsian video Tiktok dari Mohd Haziq bin Mohamad, dapat dilihat sekumpulan pemuda bermotorsikal yang sedang berkonvoi dalam keadaan hujan yang lebat dan terserempak dengan seorang pakcik yang sedang menggigil sambil menunggu bantuan.

“Kami baru lepas makan daripada Kafe Markisa di Jasin dan menghala ke rumah dalam keadaan hujan yang lebat,

“Dalam perjalanan pulang, kami ternampak sebuah kereta Persona terbabas dan terdapat sebuah Myvi yang turut berada di kawasan tersebut untuk membantu,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Haziq yang merupakan seorang Penolong Juruteknik Tenaga Nasional Berhad menyatakan bahawa dia terkejut selepas melihat pakcik tersebut menggigil dan dia berpendapat bahawa pakcik tersebut  masih terkejut kerana baru terlibat dalam kemalangan.

Haziq juga menyatakan bahawa terdapat gaung di sebelah parit tersebut.

“Saya rasa kalau parit itu tiada di situ memang kereta pakcik tersebut boleh masuk ke gaung tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Haziq bersama 14 orang kawannya yang lain turut membantu mengangkat kereta pakcik tersebut keluar dari parit.

Di samping itu, Haziq juga sempat menegaskan dalam video tersebut bahawa budak motor bukan sampah masyarakat tapi mereka ada untuk masyarakat.

“Memang saya menyelam sambil minum air kerana motif saya tulis sebegitu adalah untuk membuktikan bahawa budak motor bukanlah sepertimana yang netizen pandang,

“Kita cuma nak naikkan martabat mat motor supaya tanggapan orang ramai terhadap kami boleh diubah” tegas Mohd Haziq.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji sikap kumpulan mat motor itu dan ada yang turut menceritakan pengalaman dibantu mat motor ketika di jalan raya.

“Semoga murah rezeki awak semua yang bantu pakcik ni” kata @Bebé.

“Teringat time balik cod naik motor, motor habis minyak, abg grab je yang berhenti tolong,” kata @garamkasar.

Sementara itu, salah seorang yang memberi komen pada video tersebut juga merupakan anak kepada pakcik tersebut.

“Thank you rider moto tolong. Pakcik ni ayah saya. Jasa korang semua dikenang, hanya Allah dapat membalasnya,” kata @Ell.

Anak kepada pakcik itu juga turut menyatakan bahawa bapanya selamat selepas dibantu kumpulan motor tersebut. – SB.