Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Peniaga rugi RM139,000 ditipu Macau Scam -

Peniaga rugi RM139,000 ditipu Macau Scam

SEORANG peniaga mendakwa kerugian RM139,500 akibat diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis dan kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), akhir bulan lepas. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 50 tahun mendakwa menerima panggilan telefon pada 25 September daripada seorang wanita kononnya pegawai LHDN di Melaka. 

“Suspek (wanita) mendakwa syarikat ditubuhkan mangsa mempunyai tunggakan cukai, yang dinafikan mangsa menyebabkan wanita itu menghubungkan panggilan itu kepada seorang suspek lelaki kononnya pegawai polis di Ibu Pejabat Kontinjen Melaka bagi membantu mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Wazir berkata ‘pegawai polis’ itu kemudian memaklumkan syarikat di bawah nama mangsa turut terlibat dengan siasatan kes jenayah dan mangsa perlu menyerahkan maklumat peribadi serta perbankan bagi tujuan semakan untuk ‘membersihkan’ wang mangsa. 

Selain itu, mangsa juga diarahkan memindahkan wang miliknya ke akaun sementara diberikan ‘pegawai polis’ itu sehingga siasatan selesai, yang dilakukan mangsa menerusi 11 transaksi secara dalam talian bermula 27 Sept hingga semalam. 

Beliau berkata mangsa mula berasa curiga apabila ‘pegawai polis’ itu enggan menjawab jangkaan masa untuk wangnya dikembalikan semula selain semakin mendesak supaya lebih banyak transaksi pemindahan wang dibuat. 

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Ruan, Raub semalam dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, katanya. – BERNAMA