Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
2.9 juta pekerja dibela - Saravanan -

2.9 juta pekerja dibela – Saravanan

KERAJAAN berjaya membela nasib lebih 2.9 juta pekerja daripada risiko diberhentikan kerja sepanjang pandemik Covid-19.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, selain itu lebih 300,000 syarikat di negara ini dibantu untuk mengelak ‘gulung tikar’ menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk Program Subsidi Upah (PSU).

Katanya, di bawah PSU kerajaan menyediakan peruntukan RM18 bilion bagi menjamin pekerjaan dapat dikekalkan ketika musim mencabar ini.

“Sebagai menteri, kalau ditanya apa pencapaian saya, kita sudah menyelamatkan dan membela 2.9 juta pekerja dengan sumbangan (kerajaan) lebih RM18 bilion.

“Negara dapat selamatkan nasib mereka (pekerja) dan lebih 300,000 syarikat daripada gulung tikar,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan asal Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN-Baling), beliau berkata, sehingga Julai lalu, terdapat peningkatan bilangan penganggur seramai 9,500 orang menjadikan jumlah penganggur kini sekitar 778,200 orang.

Katanya, dalam usaha memastikan lebih banyak peluang pekerjaan disediakan bagi mengurangkan kadar pengangguran, kerajaan menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara (MPN) dengan sasaran mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan.

“Di bawah MPN, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dilantik sebagai pengerusi bersama bagi Pasukan Petugas Khas Sumber Manusia dan Keusahawanan.

“Sehingga 31 Ogos lalu, Pasukan Petugas Khas Sumber Manusia dan Keusahawanan sudah mencapai petunjuk prestasi (KPI) sebanyak 98 peratus iaitu 359,677 daripada sasaran 367,500 bagi penempatan pekerjaan dan penciptaan pendapatan” katanya.

Beliau berkata, PERKESO turut memperluaskan elaun mencari pekerjaan kepada bukan pencarum terutamanya graduan baru, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal, dengan elaun sekurang-kurangnya RM300 akan diterima apabila mereka mendaftar di bawah platform MyFutureJobs.

“Dengan peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta, skop insentif turut diperluaskan oleh PERKESO meliputi pekerjaan sementara dan pekerjaan gig yang memanfaatkan 60,000 pekerja dan majikan yang menawarkan pekerjaan jangka pendek atau platform penyedia perkhidmatan gig berdaftar dengan pertubuhan itu.

Selain itu, katanya sejumlah RM125 juta turut diperuntukkan untuk melaksanakan inisiatif ‘Place and Train’ di bawah Program Janapreneur Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).

“Inisiatif ini akan membuka peluang kepada 30,000 orang terutama belia lepasan sekolah dan graduan untuk mengikuti program latihan dengan jaminan pekerjaan setelah tamat latihan,” katanya.