Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
[VIDEO] Petugas kesihatan tersalah ambil picagari kosong - Noor Azmi -

[VIDEO] Petugas kesihatan tersalah ambil picagari kosong – Noor Azmi

VIDEO tular mengenai proses vaksinasi membabitkan seorang remaja berusia 12 tahun dikenal pasti berpunca akibat petugas kesihatan tersalah ambil picagari kosong.

Siasatan awal dilakukan ProtectHealth mendapati, kejadian itu berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, pada Rabu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A), Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, picagari kosong dan masih belum digunakan itu diletakkan di ruangan meja sama dengan picagari berisi vaksin.

“Petugas kesihatan itu telah mengikut prosedur yang ditetapkan seperti menunjukkan vaksin dikeluarkan daripada botol vaksin melalui picagari dan menunjukkan picagari berisi vaksin dengan dos sepatutnya kepada ibu remaja berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun, beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan I berkata, petugas kesihatan itu meletakkan sebentar picagari terbabit di atas meja untuk melakukan proses nyahkuman di lengan remaja sebelum memberikan suntikan, selepas menunjukkan picagari berisi vaksin.

“Dia tersalah ambil picagari kosong dan membuat suntikan ke lengan remaja itu. Selepas selesai, petugas kesihatan itu menyedari kesilapannya dan memaklumkan kepada pegawai perubatan bertugas di PPV UM.

“Kedua-dua mereka segera mengadakan perbincangan dengan ibu bapa remaja itu.

“Selepas memahami penjelasan diberikan, ibu bapa remaja berkenaan memberi kebenaran untuk remaja terbabit diberikan suntikan vaksin di lengan berlainan mengikut Prosedur Dos Kurang.

“Prosedur Dos Kurang adalah garis panduan klinikal yang mencadangkan pemberian vaksin di lengan berlawanan jika dos pertama dianggap tidak mencukupi dan dos semula diperlukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi berkata, CITF-A amat kesal dengan kejadian berkenaan serta memohon maaf kepada ibu bapa dan remaja terbabit susulan kesulitan yang dihadapi.

Beliau turut menyifatkan kejadian itu sebagai kesilapan ketika bertugas atau ‘human error’, selain menjelaskan petugas kesihatan terbabit sudah diberi amaran supaya lebih berhati-hati dan mengikut prosedur ditetapkan.

“Prosedur dalaman juga sudah ditambah baik dengan memastikan tiada picagari lain di ruangan meja sama ketika memberi suntikan.

“Ini bagi mengelakkan kejadian sama berulang. Keselamatan dan kesejahteraan penerima vaksin sentiasa menjadi keutamaan kami,” katanya. 

Terdahulu, tular satu video menunjukkan rakaman proses vaksinasi ke atas seorang remaja berusia 12 tahun menggunakan picagari kosong oleh seorang petugas kesihatan. – SB