BEKAS pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei naik angin selepas melihat mutu penjaga garisan Kejohanan Badminton Piala Sudirman 2021 yang berlangsung di Finland, awal pagi tadi.
Chong Wei yang turut meraikan kemenangan skuad Malaysia menewaskan musuh tradisi Indonesia 3-2, nyata tidak berpuas hati dengan banyak keputusan penjaga garisan.
Secara berseloroh tetapi sinis, katanya dia akan menghubungi ibu kepada Teemu Puuki untuk membuat aduan mengenai penjaga garisan.
Puuki adalah pemain bola sepak Finland yang kini beraksi untuk kelab Norwich City dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
“Aiyooo..teruk gila linesman (penjaga garisan) malam tadi. Tolong la improve (perbaiki) woii. Kalau tak, i (saya) kasi call mak Teemu Puuki. Kasi complain sama lu,” katanya dalam status yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya hari ini.
Dalam aksi suku akhir malam tadi, Malaysia mencipta kejutan melangkah ke separuh akhir Piala Sudirman 2021 selepas menumbangkan musuh tradisi, Indonesia 3-2 dalam aksi suku akhir di Vantaa, Finland.
Ini adalah kemenangan pertama skuad negara ke atas Indonesia dalam saingan Piala Sudirman selepas tewas dalam dua pertemuan sebelum ini pada edisi 1999 dan 2011.
Malaysia akan berdepan Jepun di pentas separuh akhir malam ini.
Mengulas kejayaan Malaysia, Chong Wei berkata, pertarungan itu cukup mendebarkan tetapi jelas pemain negara cukup bersemangat untuk menang berdepan lawan yang berada di ranking lebih baik.
“(Lee) Zii Jia, Wooo Aik, Aaron (Chia) memang power. Tak terkejar minions (Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo) melawan beregu kita.
“Zii Jia pula tak kasih chance (peluang) langsung kepada (Anthony Sinisuka) Ginting, yang tak pernah kalah kepada Zii Jia sebelum ini. Tahniah,” katanya.
Selepas Zii Jia dan beregu negara, Aaron-Wooi Aik meraih dua mata untuk Malaysia dan kedudukan terikat 2-2, beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See muncul wira skuad negara apabila menyumbang mata kemenangan selepas menumbangkan beregu nombor empat dunia dari Indonesia.
“Ramai yang tak kenal beregu campuran Malaysia ini. Mereka bagaikan dirasuk Harimau Malaya. Mereka buktikan kita tidak lemah, Malaysia tidak akan kalah sewenang-wenangnya,” kata Chong Wei. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.