MAJLIS Tertinggi Perikatan Nasional (PN) hari ini mencapai keputusan secara konsensus untuk menyokong Memorandum Persefahaman (MoU) Tranformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan pembangkang.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin berkata, PN akan memainkan peranan untuk menyampaikan pandangan dan pendirian gabungan parti itu dari masa ke semasa untuk memastikan MoU berkenaan dilaksanakan mengikut terma dipersetujui.
“Mesyuarat juga membuat keputusan untuk saya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional bagi menyampaikan pendirian yang telah diambil berkenaan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat.
Selain itu, katanya PN juga bersiap sedia untuk menambah pengundi muda dan pengundi baharu, serta membincangkan pendekatan dan program yang akan dilaksanakan untuk menyantuni golongan muda, selaras dengan pelaksanaan Undi-18.
“Perikatan Nasional sentiasa menghormati dan komited mendokong hak generasi muda untuk mengambil bahagian dalam proses pilihanraya dan amalan demokrasi di negara ini,” ujarnya.
Pada mesyuarat itu juga, parti-parti komponen PN turut mencapai sepakat untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri-negeri dengan segera.
“Majlis Tertinggi telah menetapkan majlis pelancaran rasmi parti Perikatan Nasional peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada November 2021 dan PN Negeri Selangor akan menjadi tuan rumah,” katanya.
Mesyuarat Majlis Tertinggi hari ini dihadiri semua parti komponen iaitu Bersatu, PAS, STAR SABAH, SAPP dan Gerakan.
Antara perkara lain yang dibincangkan adalah isu melibatkan pentadbiran Kerajaan, perancangan Majlis Pemulihan Negara (MPN), pengurusan pandemik covid-19, situasi ekonomi, Rancangan Malaysia Ke 12 dan isu-isu yang berbangkit berkaitan politik semasa.
Muhyiddin turut mengumumkan perlantikkan Saiful Adli Mohd Arshad sebagai Setiausaha Eksekutif parti PN berkuat kuasa 1 Oktober 2021.
Saiful Adli adalah bekas Setiausaha Politik Muhyidddin ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri. Beliau adalah lulusan Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Anak kelahiran Teluk Intan Perak ini berpengalaman sebagai peguam selama 21 tahun, sebelum dilantik sebagai Setiausaha Politik dan kini memegang jawatan Ketua Penerangan BERSATU Bahagian Ipoh Barat. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.