Rakyat akan nilai prestasi menteri:PM

0
262

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ahli jemaah menteri diarahkan untuk mengumumkan Kad Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100 kepada rakyat

Menurut Perdana Menteri, ini bertujuan bagi menilai pencapaian prestasi menteri dan kementerian demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan meletakkan pencapaian aspirasi tersebut untuk setiap ahli jemaah menteri sebagai keutamaan tertinggi bagi memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Jelas Ismail Sabri, pada 24 dan 29 September lalu, beliau telah mengadakan sesi bersama kesemua 31 ahli jemaah menteri untuk memuktamadkan senarai aspirasi yang telah dicadangkan.

“Prestasi setiap ahli jemaah menteri akan dinilai berdasarkan tiga elemen utama iaitu penilaian prestasi kementerian dan jabatan, penilaian kepimpinan berdasarkan keberkesanan keberhasilan inisiatif serta penilaian persepsi awam terhadap ahli jemaah menteri dan kementerian dan jabatan di bawah tanggungjawab mereka.

“Ini adalah selaras dengan keputusan yang dibuat pada 10 September lalu agar ahli jemaah menteri membentangkan laporan prestasi setiap aspirasi masing-masing bagi 100 hari pertama pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ujar beliau, pelaksanaan inisiatif-inisiatif bagi setiap aspirasi adalah berlandaskan enam teras utama iaitu menstruktur semula ekonomi, menjamin keselamatan dan ketenteraman negara serta meningkatkan kesejahteraan sosial.

Selain itu, mempertingkatkan infrastruktur menyeluruh, memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia serta memperkasa penyampaian perkhidmatan.

Ismail Sabri menambah, Pejabat Ketua Setiausaha Negara, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) akan bertindak sebagai penyelaras bersama bagi memastikan perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penambahbaikan setiap aspirasi Keluarga Malaysia oleh ahli jemaah menteri dapat dijayakan dengan cemerlang. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here