Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lebih 1,600 penduduk terjejas banjir kilat -

Lebih 1,600 penduduk terjejas banjir kilat

Oleh RAHIMI MOHAMAD

SERAMAI kira-kira 1,600 penduduk di beberapa kawasan di sekitar Johor Bahru terkesan setelah kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir kilat yang berlaku pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan ditenggelami antaranya Kampung Kangkar Tebrau, Kampung Laut di Skudai serta Jalan Permatang dan Jalan Denai Utama di Kempas.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor berkata, pihaknya menerima maklumat tentang banjir kilat kira-kira 6.50 pagi melibatkan beberapa lokasi berasingan.

Menurutnya, banjir kilat itu berlaku berpunca hujan lebat yang turun kira-kira pukul 6 pagi dan berlarutan lebih dua jam.

Katanya, susulan panggilan kecemasan diterima, beberapa pasukan bomba dari balai berhampiran digerakkan ke lokasi untuk tujuan pemantauan bagi memastikan tidak ada yang terperangkap dan tugas pemindahan sekiranya memerlukan.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, banjir kilat menjejaskan lebih 1,600 penduduk, namun begitu kesemua lokasi tersebut tiada operasi pemindahan penduduk yang dilaksanakan. Paras air juga mula menunjukkan penurunan,” katanya hari ini.

Sementara itu, beberapa gambar yang tular di media sosial menunjukkan kawasan-kawasan di pusat bandar Johor Bahru turut terkesan ekoran banjir kilat.

Bagaimanapun, ketika tinjauan dilakukan tengah hari ini, paras air di kawasan terlibat telah surut. – SB