[VIDEO] Jangan jadi bodoh: pesan ibu buat jaguh paralimpik

0
1233

JIKA dilihat sejarah hidupnya, tiada siapa percaya Mohd Raduan Emeari akan bergelar jaguh pecut paralimpik negara, yang kerap mengibarkan jalur gemilang di pentas dunia.

Hanya seorang insan, Normah Hassan, 65, yang percaya dan cukup yakin Raduan sebenarnya anak istimewa, lebih baik daripada orang lain yang sebaya.

Sejak dilahirkan pada 20 Mei 1982 sehinggalah usianya mencecah lima tahun, Raduan hanya mampu terbaring. Langsung tidak boleh berjalan, tidak mampu bertutur.

Anak normal biasanya sudah mampu berdiri, berjalan atau berlari seawal usia satu hingga dua tahun, tetapi Raduan cukup berbeza.

Anak ketiga daripada empat beradik ini dilahirkan berbeza dan dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU).

Namun, ibunya yang bekerja di ladang di Kuala Selangor tidak pernah putus asa untuk berusaha memastikan Raduan menikmati hidup normal.

Dia akan melakukan apa saja ikhtiar demi anak tercinta bahkan kerap digelar sebagai ibu yang mendera anak sendiri dan dianggap kejam.

“Percayalah, saya sanggup buat apa saja. Ada yang ajar saya calit garam di mulut, bagi anak makan buntut ayam (yang dimasak), berurut, amalan sapu minyak dan macam-macam lagi.

“Akhirnya saya temui formula sendiri bagaimana mendidik anak istimewa ini,” kata Normah memulakan bicara berkongsi rahsia membesarkan Raduan.

Apa yang dikongsikan Normah agak menggelikan hati dan ada kalanya nampak bersifat kejam, tetapi sebenarnya lebih banyak menimbulkan rasa kagum dan terharu.

Wartawan SatuBerita.My yang menemui mereka di Kampung Belimbing, Kuala Selangor hampir menitiskan air mata mendengar kisah Normah membesarkan Raduan yang kini bergelar atlet negara.

Kini, Raduan sudah pun bersara selepas kali terakhir beraksi di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dengan meraih dua pingat perak.

“Dia langsung tidak boleh duduk. Jadi, saya paksa dia duduk di dalam kotak supaya sentiasa ada tempat berpegang dan bersandar.

“Kakinya lembik, langsung tidak boleh berdiri. Macam mana nak berjalan kalau tak mampu berdiri. Setiap hari saya masukkan dia ke dalam tong air, separas muka.

“Raduan memang takutkan air. Jadi, dia mesti berpegang pada tepi tong dan bangun berdiri sendiri, jika terduduk, dia akan tenggelam,” katanya.

Pada peringkat awal, memang Raduan ada menangis setiap kali dimasukkan ke dalam tong air, tetapi kerana terlalu takutkan air dan bimbang akan tenggelam, dia akan bergayut dan bertahan sedaya mampu.

Secara tidak langsung, kaedah itu membuatkan otot kaki dan tanganya semakin kuat. Bahkan dia akan lebih berdaya tahan untuk mengelakkan daripada lemas.

Apabila sudah mampu berdiri dan berjalan perlahan, Raduan diajar untuk berjalan tegak dan berlari. Disebabkan kedua-dua belah tangannya membengkok dan tidak boleh diluruskan, dia berjalan senget.

“Sebab itulah saya paksa dia ambil air di perigi, gunakan timba. Saya paksa dia angkut air dan siram pokok setiap hari. Mesti angkut dua timba sekali.

“Memang dia akan menangis. Tetapi, apabila saya pulang ke rumah dan nampak pokok bunga tak disiram, saya akan denda tak bagi dia makan. Kalau nak makan, mesti berlatih siram bunga,” katanya.

Selain itu, Raduan juga dipaksa berlari dan bermain dengan adik beradik lain iaitu Roslinda yang kini berusia 42 tahun, Mohd Rizal, 41 dan adik bongsu, Mohd Rasidi, 38.

Permainan paling popular tetapi cukup sukar buat Raduan ialah selipar kaki tiga. Dia mesti menyusun selipas menjadi piramid dan jika gagal, akan dibaling dengan bola sehinggalah dia mampu mendirikan piramid selipar.

Selepas menjalani rutin sama selama 12 tahun, akhirnya Raduan mampu berlari dan bertutur lebih baik, bahkan mewakili sekolah dalam acara bola sepak dan olahraga.

Namun, peristiwa paling menyayat hati yang sukar dilupakan sehingga sekarang ialah ketika Raduan dihina di depan orang ramai dan pulang mengamuk di rumah kerana malu dengan keadaan fizikalnya.

“Saya minta dia beli roti canai. Dia yang teringin, tetapi tiba-tiba dia pulang mengamuk dan mencampakkan roti canai. Katanya penjual itu menghinanya, awak bodoh, mak awak lahirkan anak cacat.

“Saya arahkan dia hantar balik roti canai tadi dan cakap kepada penjual itu, tiada siapa di dunia ini yang minta lahirkan anak cacat. Raduan mesti berani, jangan jadi bodoh, mesti lawan balik kalau ada yang menghina,” kata Normah.

Sehingga sekarang, itulah kata-kata yang dipegang Raduan dan dia tidak akan sesekali menyerah kalah dalam setiap perkara termasuk dalam acara sukan.

Sebab itulah, sehingga kini masih jelas banyak parut luka di dahi, muka dan tanganya akibat terjatuh, bergaduh dengan rakan yang pernah menghinanya.

Sebelum ini, kecoh di media sosial mengatakan Raduan berdepan hidup sukar selepas bersara dan terpaksa bekerja di stesen minyak di Kuala Selangor.

Ikuti penjelasan Raduan mengenai isu itu dan kenapa dia memilih untuk kembali ke kampung halamannya dalam artikel akan datang – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here