LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini menafikan berlaku sebarang kebocoran data peribadi melalui laman sesawangnya melalui Application Programming Interfaces (API) yang dibuat untuk myIDENTITY di bawah seliaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)..
Dalam kenyataan penafiannya itu, LHDN berkata pihaknya hanya pengguna dan bukannya pemilik kepada sistem myIDENTITY tersebut di samping turut berkata pihaknya telah menjalankan siasatan dalaman berkenaan perkara tersebut.
Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan laporan media yang mendakwa berlaku kebocoran 4 juta data peribadi rakyat Malaysia yang kini ditawarkan untuk pembelian Internet.
“Siasatan dalaman telah dijalankan dan mendapati tidak berlaku sebarang kebocoran data dan maklumat seperti yang didakwa.
“LHDN juga sedang bekerjasama dengan pihak JPN dan Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa), Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melihat semua kemungkinan berkenaan dakwaan ini,” katanya.
LHDN berkata pihaknya memberikan jaminan semua data dan maklumat yang berada dalam simpanan LHDN adalah selamat kerana ia dilindungi dengan teknologi keselamatan data yang diiktiraf.
Perkara ini didedahkan oleh seorang pakar IT, Adnan Shukor melalui ciapannya yang mana beliau turut mendakwa data tersebut boleh dibeli pada harga RM35,000.
Adnan turut berkongsi sebuah tangkap layar yang menunjukkan jualan yang menawarkan empat juta data peribadi yang bocor daripada laman sesawang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Agensi percukaian negara itu adalah salah satu dari 10 agensi kerajaan yang turut termasuk dalam platform myIDENTITY di mana data dari JPN dikongsi.- SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.