Oleh RAHIMI MOHAMAD
POLIS Johor sudah membuka kertas siasatan untuk menyiasat satu dakwaan anggota polis yang disyaki mengganggu isteri seorang anggota polis lain.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, laporan diterima pada 23 September lalu berhubung kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dilaksanakan.
“Walaupun kejadian ini melibatkan anggota polis, kita akan tetap membuat siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Jika benar seperti didakwa kita akan ambil tindakan mengikut undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pematuhan rakyat negeri ini terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan sepanjang Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilihat semakin rendah.
Beliau berkata, pada semalam sahaja, polis telah mengeluarkan 222 nasihat kepada mereka yang didapati melanggar SOP berkaitan.
Menurut beliau, setelah Johor memasuki Fasa 2 PPN pada 24 September lalu, sebanyak 10 buah kenderaan telah diarah berpatah balik kerana cuba melakukan pergerakan rentas daerah tanpa vaksinasi lengkap.
“Polis Johor juga telah menggerakkan operasi pematuhan terhadap SOP ditetapkan kerajaan, namun apa yang dilihat adalah kadar pematuhan orang ramai sudah menurun.
“Sehubungan itu selepas ini kita tidak akan lagi sekadar memberi nasihat tetapi sebaliknya sebarang perlanggaran SOP akan terus dikenakan kompaun,” katanya.
Tambah Ayob Khan, pihaknya juga akan meningkatkan operasi pemantauan di lokasi-lokasi tumpuan awam dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19 di negeri ini.
“Antara lokasi yang diberi tumpuan adalah di pusat beli-belah, pantai dan pusat rekreasi bagi memeriksa sama ada masyarakat terus patuh SOP termasuklah syarat individu perlu lengkap vaksin,” ujarnya.
Pada Khamis lalu, Johor telah beralih memasuki Fasa 2 PPN yang menyaksikan lebih banyak kelonggaran khususnya berkaitan sektor ekonomi dan aktiviti riadah dibenarkan.- SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.