Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Rentas negeri dijangka dibenarkan tiga minggu lagi -

Rentas negeri dijangka dibenarkan tiga minggu lagi

KEBERKESANAN Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilancarkan pada 24 Februari lalu bukan sahaja memberikan kita perlindungan daripada virus itu tetapi juga pengembalian kepada kehidupan normal sebelum wabak itu melanda.

Dan seperti mana yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia, dalam masa tiga minggu lagi kebenaran rentas negeri akan diumumkan.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berita gembira itu dijangka akan diumumkan susulan langkah-langkah yang diambil bagi mempercepatkan vaksinasi populasi dewasa di negara ini.

Hishammuddin berkata, beliau telah mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan orang ramai menerima vaksin lengkap dalam masa terdekat.

Jelas beliau, arahan itu bertujuan memastikan sasaran vaksinasi 90 peratus populasi dewasa dapat dicapai dalam masa terdekat.

Hishammuddin menambah, antara tindakan segera akan dilaksanakan ATM adalah menggerakkan lebih banyak Pasukan Vaksinasi Perubatan Tempur (CMVT) untuk membantu KKM memvaksin masyarakat di kawasan pedalaman.

Tambah beliau, ATM turut diarahkan memperluaskan program vaksinasi pandu lalu yang dilaksanakan Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi warga ATM kepada orang awam, bagi menyegerakan sasaran.

“Insya-Allah, kebenaran rentas negeri yang ditunggu-tunggu ramai akan diumumkan dalam masa terdekat. Apa perancangan yang kita lakukan bersama KKM itu kita harap dapat dijayakan dalam tiga minggu ini.

“Jadi sebelum ia (rentas negeri diumumkan) banyak perkara yang perlu difikirkan dari segi prosedur operasi standard (SOP) serta tanggungjawab agensi dalam melaksanakan pemantauan. SOP rentas negeri kita akan umumkan sebelum pengumuman kebenaran rentas negeri dibuat dan ia akan diperincikan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6RRD), Kem Ulu Tiram, Johor Bahru, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan membayangkan kebenaran untuk rentas negeri akan dapat diberikan oleh kerajaan dalam beberapa minggu lagi.

Ismail Sabri dilaporkan berkata ini kerana sehingga Rabu lalu (22 September), 81 peratus populasi dewasa dalam negara sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 dan dalam beberapa minggu sahaja lagi, ia boleh mencapai kadar 90 peratus untuk mendapatkan kelonggaran rentas negeri itu. – SB