PILIHAN raya umum (PRU) ke-15 (PRU15) masih jauh, dan belum ada sebarang tanda jelas bila akan berlangsung. Tetapi cakap-cakap siapa yang bakal bertanding, berapa jumlah kerusi yang akan direbut sudah bertebaran.
Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak juga meluahkan keinginan untuk kekal di kerusi Parlimen Pekan, Pahang. Ketika satu temu bual bersama Reuters baru-baru ini, Najib menyatakan hasrat untuk dicalonkan semula.
Jika benar Najib mahu menjadi calon, apakah kesannya kepada parti kerana bekas presiden UMNO itu bergelut dengan banyak pertuduhan di mahkamah. Najib sudah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun, denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi pada Julai 2020.
Penganalisis politik melaungkan amaran sebarang langkah yang diambil Najib untuk dicalonkan semula PRU15 bakal menyebabkan UMNO berisiko berdepan pilihan raya kecil di Pekan.
Pensyarah Kanan Sains Politik UiTM, Mujibu Abd Muis menegaskan, pencalonan Najib harus dilihat dari sudut undang-undang, kerana beliau disabitkan bersalah terhadap tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International.
Ketika mengulas isu itu kepada MalaysiaNow, Mujibu akur, jika Najib gagal mengubah keputusan dan tidak mendapat pengampunan diraja, maka ada kebarangkalian plihan raya kecil perlu diadakan semula, sekiranya Najib menang di Pekan.
Perlu dingat, ketika pilihan raya umum 2018, beberapa ahli politik pernah dibatalkan pencalonan atau tidak mencalonkan diri berikutan kes mahkamah yang sedang dihadapi.
Antaranya bekas ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang berdepan perbicaraan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) dan bekas ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang yang hilang kelayakan bertanding ekoran kes mahkamah.
Perkara yang sama boleh berlaku kepada Najib dan sekumpulan pemimpin UMNO termasuk presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang digelar kluster mahkamah. Mereka berdepan kes undang-undang berkait rasuah dan pengubahan wang haram.
Jika mereka dicalonkan semula, reputasi dan integriti UMNO akan terjejas kerana masih mengekalkan golongan kleptokrat, sedangkan rakyat mahukan calon bersih.
Itu bermakna parti itu memang sukar berubah walaupun UMNO dan Barisan Nasional (BN) tumbang kali pertama dalam sejarah pada PRU 2018. Ia juga akan menjadi bukti sikap “warlord” (hulubalang) dan feudalisme masih kukuh di dalam darah UMNO.
Pendapat sama dikongsi Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar yang menilai dua faktor utama yang akan menentukan pencalonan Najib iaitu kebolehmenangan Najib, dan faktor perundangan.
Tegasnya, jika merujuk kepada budi bicara pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya pada hari penamaan calon, keadaan itu masih berisiko dan terdedah kepada bantahan calon lain yang mungkin tidak berpuas hati dengan pencalonan beliau.
Semuanya terpulang kepada kebijaksanaan UMNO memutuskan senarai calon dengan menilai segala aspek. Namun, Hisommudin dan Mujibu bersetuju kebarangkalian Najib untuk mengekalkan kerusi di Pekan adalah tinggi. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.