Perlu enam minggu siapkan laporan BID: Khairy

0
246

PIHAK berkuasa kesihatan mengambil masa sehingga enam minggu bagi menyiapkan laporan membabitkan kes kematian di luar hospital (BID), kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Kelewatan laporan itu berlaku disebabkan proses bedah siasat perlu dibuat untuk menentukan punca sebenar kematian bagi setiap kes BID dan mengakibatkan data jumlah kematian semasa tertunggak.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, kes kematian di fasiliti kesihatan mengambil masa antara 24 hingga 72 jam untuk dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) memandangkan penyelidikan perlu dilakukan terhadap setiap pesakit yang meninggal dunia.

Beliau berkata, pesakit yang meninggal dunia perlu disahkan berpunca akibat Covid-19 dan bukannya meninggal dunia dengan Covid-19, seperti garis panduan ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Katanya, sehingga semalam, terdapat 422 kes kematian, termasuk 109 kes BID yang tertunggak sejak Julai lalu.

Khairy ketika ucapan penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini turut menjelaskan data tertunggak atau “backlog” itu berpunca peningkatan kes di Lembah Klang, terutama kematian dari Julai hingga Ogos.

Peningkatan kes juga mengakibatkan fokus petugas barisan hadapan tertumpu kepada memberikan rawatan kepada pesakit sekali gus mengakibatkan kelewatan melaporkan kes kematian berpunca daripada Covid-19.

“Secara amnya, penangguhan laporan kematian bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi turut dilaporkan di Amerika Syarikat, United Kingdom dan India.

“Justeru, Kementerian Kesihatan sudah mengambil beberapa langkah perlu bagi memastikan kelewatan atau isu data tertunggak membabitkan kes kematian, dilaporkan dapat diselesaikan secepat mungkin dengan mewajibkan semua fasiliti kesihatan menyediakan laporan dalam tempoh 48 jam,” katanya.

Walaupun trend kematian akibat Covid-19 di negara ini menunjukkan penurunan, namun perlu ditekankan mengenai kepentingan untuk merujuk kepada tarikh kematian sebenar untuk kes dilaporkan setiap hari.

“Kementerian juga sedang berusaha mengemas kini tunggakan laporan kes kematian yang memberi kesan kepada laporan peningkatan jumlah kematian harian,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here