Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Koperal didakwa terima rasuah kes air ketum -

Koperal didakwa terima rasuah kes air ketum

SEORANG anggota polis berpangkat koperal didakwa di atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM700 daripada seorang lelaki, bagi melepaskan suspek yang berdepan kes memiliki air ketum pada Disember 2020.

Ketika dihadapan ke Mahkamah Seksyen Kuantan, Pahang, tertuduh Mohamed Syaffiq Mohammed Sidek, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 1 tengahari hingga 2 petang di Balai Polis Kuantan pada 25 Disember tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Sarah Zainal Abiddin.

Mohamed Syaffiq yang kini digantung kerja merayu agar mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin yang rendah memandangkan dia perlu menanggung isteri dan dua anak berusia tiga dan tujuh tahun serta menjaga ibunya yang uzur.

Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah menetapkan RM10,000 bagi ikat jamin, namun hakim membenarkan rayuan tertuduh dan memutuskan kadar ikat jamin RM7,000 sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 25 Oktober ini.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudiannya membayar ikat jamin ditetapkan mahkamah itu. – SB